POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah memperkukuhkan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah siber menerusi penganjuran Program Town Hall Discussion PDRM Kontinjen Kedah Tahun 2026: Jenayah Scammer Dalam Talian/Penipuan di Laman Maya dengan kerjasama Pusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM).

Timbalan Pengarah (Aktiviti) Pusat Kokurikulum UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Nur Khairiel Anuar berkata, program yang berlangsung di Auditorium School of International Studies (SOIS), UUM itu menghimpunkan pelbagai agensi strategik bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai modus operandi scammer yang semakin berleluasa, di samping memperkukuh pendidikan keselamatan digital.

"Program ini turut mendapat sokongan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Lions Club Alor Setar sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan literasi digital dan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan masyarakat," katanya.

Program itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Polis, Baderulhisham Baharudin, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri.

- Advertisement / Iklan -

Turut hadir ialah pegawai kanan PDRM Kontinjen Kedah, wakil agensi kerajaan, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Malaysian Crime Prevention Foundation (MCPF), SUKSIS UUM, pensyarah, pelajar serta wakil komuniti.

Sesi town hall yang dikendalikan Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr. Za'im Ahmad itu menampilkan panel daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Bank Negara Malaysia Pulau Pinang dan SKMM Kedah bagi membincangkan pelbagai bentuk jenayah penipuan dalam talian.

- Advertisement / Iklan -

Perbincangan memberi fokus kepada pelbagai modus operandi scammer termasuk skim pelaburan palsu, penyamaran sebagai pihak berkuasa, keselamatan transaksi kewangan digital serta penyalahgunaan platform media sosial yang semakin membimbangkan.

Penganjuran program itu mencerminkan komitmen PDRM Kedah bersama rakan strategik dalam memperkukuh kesedaran masyarakat agar lebih peka, berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan taktik penjenayah siber.

Kerjasama antara pihak keselamatan, institusi pengajian tinggi, agensi kewangan dan komuniti diharap dapat melahirkan masyarakat yang lebih celik digital serta bersama-sama membendung jenayah scammer.