UPM lancar PUTRA2, sedia gegar Formula SAE Japan 2026
DI sebalik bunyi deruman enjin dan reka bentuk sebuah kereta lumba, tersimpan ribuan jam pengorbanan, eksperimen dan semangat tidak kenal putus asa sekumpulan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM).
Bermula dengan lakaran di atas kertas, idea itu akhirnya diterjemahkan menjadi sebuah jentera Formula SAE yang bakal membawa cabaran Malaysia ke pentas antarabangsa.
Impian itu kini direalisasikan menerusi pelancaran PUTRA2, sebuah kereta lumba Formula SAE yang dibangunkan oleh pelajar Fakulti Kejuruteraan melalui Putra Motorsport Team (PMT) sebagai persediaan mewakili Malaysia ke 24th Student Formula Japan 2026 yang akan berlangsung pada 2 hingga 7 Ogos depan di Aichi Sky Expo, Aichi, Jepun.
PUTRA2 menjadi simbol keupayaan mahasiswa menterjemahkan ilmu kejuruteraan kepada inovasi sebenar, sekali gus membuktikan peranan universiti sebagai platform pembangunan bakat berimpak tinggi yang melahirkan graduan berkemahiran, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran industri global.

Dibangunkan dalam tempoh 13 bulan bermula Julai 2025, projek itu melibatkan 73 pelajar dengan bimbingan 10 penasihat akademik serta lima staf teknikal yang terlibat dalam keseluruhan proses reka bentuk, simulasi, fabrikasi, pemasangan dan pengujian kenderaan.
Penyertaan kali ini merupakan penyertaan keempat PMT dalam Formula SAE Japan, antara pertandingan kejuruteraan pelajar paling berprestij di dunia yang menguji keupayaan pasukan mereka bentuk, membina dan mempertandingkan kereta Formula SAE menerusi penilaian aspek kejuruteraan, analisis kos, pembentangan model perniagaan serta prestasi di litar.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pembangunan PUTRA2 membuktikan universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah medan melahirkan bakat dan inovasi yang memberi pengalaman sebenar kepada pelajar.

"Di UPM, kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi melalui keupayaan pelajar menghasilkan penyelesaian sebenar yang memberi nilai kepada industri dan masyarakat.
"PUTRA2 membuktikan bahawa pelajar kita bukan sekadar mempelajari kejuruteraan, tetapi membina teknologi dan mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa," katanya.
Menurut beliau, projek seperti itu turut membuka peluang kepada pelajar meneroka inovasi, memimpin projek berskala besar serta membina kompetensi yang selari dengan keperluan industri masa depan.
Sementara itu, Penasihat Putra Motorsport Team, Prof. Ir. Dr. Mohd Khairol Anuar Mohd Ariffin berkata, pembangunan PUTRA2 membuktikan keupayaan pelajar tempatan menghasilkan inovasi bertaraf antarabangsa melalui gabungan ilmu kejuruteraan, kreativiti dan budaya kerja berpasukan.

"PUTRA2 bukan sekadar sebuah kereta lumba, tetapi platform pembelajaran berimpak tinggi yang membolehkan pelajar menterjemahkan teori kepada penyelesaian sebenar.
"Pengalaman ini membentuk kemahiran teknikal, kepimpinan, komunikasi dan keupayaan membuat keputusan yang amat diperlukan dalam landskap industri masa hadapan," katanya.
Beliau berkata, penyertaan itu turut memperlihatkan bagaimana universiti menjadi pemangkin pembangunan modal insan negara menerusi pendekatan pendidikan yang lebih aplikatif dan berorientasikan cabaran dunia sebenar.
"Dari sudut teknikal, PUTRA2 dibangunkan menggunakan casis keluli Chromoly, badan gentian karbon komposit buatan khas dan sistem suspensi pushrod bagi meningkatkan kestabilan serta prestasi jentera.
"Kereta lumba itu menggunakan enjin CFMOTO 700MT berkapasiti 693cc yang telah ditala menghasilkan 72 kuasa kuda dan 61Nm tork, selain dilengkapi sistem pengambilan udara, sistem pacuan serta sistem ekzos yang direka khas mengikut spesifikasi Formula SAE," katanya.
Dengan kos pembangunan mencecah RM118,787.12, projek ini direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara UPM dan industri.
Antara rakan strategik utama ialah Embun Karisma Resources (M) Sdn. Bhd. sebagai Penaja Utama, Ranhill Berhad sebagai Penaja Emas dan CFMOTO (Sunlight Power Sdn. Bhd.) sebagai Penaja Platinum.
Berteraskan motto Once Throttled, Move Forward, PUTRA2 membawa aspirasi jurutera muda Malaysia untuk terus mencabar batas kemampuan, menghasilkan inovasi baharu dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
