UTM Rocketry sedia lancar Aetherion di Texas, teruskan legasi RIMAU-1
BAYANGKAN anda berdiri di tengah-tengah padang pasir yang luas di Midland, Texas. Suhu yang membahang tidak mampu menandingi debaran yang bergelora di dada. Apabila hitungan detik mencecah sifar, satu dentuman kuat memecah kesunyian sebelum sebuah roket sepanjang 2.8 meter meluncur pantas membelah langit biru.
Bagi sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), detik itu bukan sekadar pelancaran roket, tetapi kemuncak kepada ribuan jam kerja keras, pengorbanan kewangan dan keyakinan bahawa anak Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan gergasi teknologi dunia.
Setelah RIMAU-1 berjaya menempatkan Malaysia di peta kejuruteraan roket antarabangsa pada International Rocket Engineering Competition (IREC) 2025 dengan pencapaian melepasi paras minimum sembilan ribu kaki, UTM Rocketry kini bersiap sedia membawa legasi itu lebih jauh menerusi sasaran melepasi ketinggian kelayakan 10,000 kaki. Pasukan ini sedang giat melakukan persiapan akhir bagi pelancaran roket baharu mereka, Aetherion, yang dijadual dilancarkan di Midland, Texas pada 17 Jun 2026.
Bagi tahun 2026, seramai 11 pelajar akan mewakili UTM ke pertandingan tersebut, terdiri daripada Goh Qi Wei, Lim Xun Hao, Yong Tze Ming, Sufyan Muhammad Yunus Jaunbocus, Ong Li Bin, Ahmed Salihin Matnoh, Adam Aqil Fairus, Shoban Kumaran, Khugaan Ramani, Manfred Cheong Yu Shean dan Zavier Lau Zhimuk.
Kejayaan UTM Rocketry melayakkan diri ke IREC 2026 sebagai pasukan dari Malaysia bukan sekadar sebuah pencapaian kejuruteraan, sebaliknya ia merupakan kisah keberanian sekumpulan anak muda yang berani mencabar batas kemampuan dan merealisasikan sesuatu yang selama ini dianggap mustahil.
Menurut Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Norazila Othman, pensyarah pembimbing UTM Rocketry bagi tahun 2026, projek tersebut bukan sekadar tugasan akademik, malah menjadi medan latihan sebenar yang mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran dunia profesional.
Tambah beliau, terdapat tiga tonggak utama yang sentiasa diterapkan kepada setiap ahli pasukan, iaitu pengetahuan teknikal, disiplin dan pengurusan projek.

“Ketepatan reka bentuk bukan sekadar soal estetika, tetapi memerlukan pengiraan yang teliti bagi memastikan roket kekal stabil serta selamat untuk dilancarkan. Disiplin juga perlu diterapkan dalam setiap aspek, bermula daripada reka bentuk komponen, badan roket dan sistem elektronik sehinggalah kepada enjin. Faktor keselamatan mesti diambil kira oleh semua ahli pasukan,” ujar beliau.
Beliau turut berpandangan bahawa tanpa pengurusan projek yang cekap, termasuk kebolehan menyediakan kertas kerja, usaha mendapatkan dana dan mengurus garis masa, projek sebesar ini sukar untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.
Keunikan UTM Rocketry turut terserlah menerusi budaya mentor-mentee yang diamalkan dalam pasukan. Menurut beliau, pasukan itu sentiasa melibatkan alumni yang kini berkhidmat di pelbagai syarikat dan institusi di dalam serta luar negara, termasuk Amerika Syarikat, bagi membimbing generasi baharu UTM Rocketry.
“Apabila alumni dilibatkan, pelajar akan merasakan mereka menerima nasihat daripada individu yang berpengalaman dan profesional. Pada masa yang sama, penglibatan alumni turut membantu meningkatkan visibiliti pasukan di peringkat luar,” katanya.
Di sebalik kejayaan tersebut, Ts. Dr. Ahmad Humaizi Rozaini, pensyarah pembimbing RIMAU-1 bagi tahun 2025, turut memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran dan keupayaan pelajar yang terlibat. Mengimbau kembali sejarah awal penubuhan pasukan itu, beliau menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang amat bermakna. Beliau masih mengingati cabaran pada fasa permulaan apabila semua ahli perlu bermula dari sifar.
Menerusi roket yang dinamakan RIMAU-1, simbol semangat Harimau Selatan dan identiti Johor, pasukan ini membuktikan bahawa keterbatasan bukanlah penghalang untuk menggapai impian yang tinggi.
“Pengalaman membimbing mereka pada tahun lalu sememangnya tidak dapat dilupakan. Ini merupakan kali pertama kami berpeluang bersaing di peringkat antarabangsa bersama lebih daripada 150 pasukan yang bertanding. Setiap ahli pasukan bekerja dengan sangat keras dan setiap bahagian memahami tanggungjawab masing-masing,” kata Dr. Humaizi.
Pengarah UTM Rocketry yang juga penuntut tahun empat, Ong Li Bin, berkongsi pengalaman mencabar sepanjang mengetuai pasukan tersebut. Beliau yang pada awalnya menyertai pasukan sebagai ahli biasa pada tahun lalu tidak pernah menyangka akan diberikan amanah besar untuk memimpin misi ke Amerika Syarikat pada tahun ini.
“Realitinya, kewangan merupakan cabaran paling besar. Kami perlu menghasilkan sendiri banyak komponen seperti tiub badan (body tube) daripada gentian kaca dan karbon bagi menjimatkan kos. Namun, pasukan kami turut mencatat satu lagi pencapaian penting apabila berjaya menghasilkan kon muncung (nose cone) sendiri, berbanding tahun sebelumnya yang memerlukan komponen tersebut diimport dari Amerika Syarikat dengan kos mencecah ribuan ringgit,” jelas Li Bin.

Menurut beliau, cabaran terbesar tetap melibatkan aspek teknikal dan ketidakpastian prestasi roket semasa hari pelancaran.
“Kami tidak mampu melakukan pelancaran roket ini di Malaysia kerana kos pembinaannya yang sangat tinggi. Justeru, usaha selama 10 bulan itu bergantung pada satu-satunya percubaan ketika hari pelancaran di Texas. Ia sememangnya berisiko, namun kami akan memastikan setiap prosedur dipatuhi dengan ketat,” katanya.
Bagi memastikan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan roket berada pada tahap optimum, pasukan tersebut bergantung sepenuhnya kepada simulasi komputer serta ujian kekuatan bahan yang dijalankan di makmal universiti.
Bagi Li Bin, detik paling bermakna sepanjang perjalanan itu ialah saat menyaksikan Jalur Gemilang berkibar megah di tapak pelancaran antarabangsa.
“Tahun lalu, ketika roket kami dilancarkan, kami dapat merasakan jantung berdegup kencang. Melihat Jalur Gemilang dan logo UTM berada di tapak pelancaran, di tengah-tengah pasukan dari pelbagai negara yang mempunyai reputasi hebat, memberikan satu perasaan bangga dan semangat yang sukar digambarkan,” luahnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan pemindahan ilmu dalam memastikan kesinambungan pasukan.
“Sebagai pemimpin, saya perlu memastikan ahli tahun kedua dan ketiga turut memahami keseluruhan proses pembangunan roket. Kami tidak mahu ilmu dan pengalaman ini terhenti selepas kami bergraduasi. Sebaliknya, kami mahu pasukan ini terus berkembang dan kekal mampan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Bagi mereka, perbelanjaan pembangunan roket yang mencecah RM40,000 bukan sekadar digunakan untuk menghasilkan sebuah roket, sebaliknya merupakan pelaburan dalam membangunkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat global.
Kisah RIMAU-1 pada tahun 2025 dan perjalanan UTM Rocketry membuktikan bahawa gabungan ilmu, disiplin yang kental serta pengurusan yang berkesan mampu membawa anak muda Malaysia menembusi sempadan dunia.
Sokongan terhadap usaha dan aspirasi mahasiswa seperti ini merupakan pelaburan penting untuk masa depan teknologi negara. Kejayaan RIMAU-1 serta misi Aetherion di Texas diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi dan pencapaian gemilang yang bakal dicetuskan oleh pelajar UTM mewakili generasi muda Malaysia pada masa hadapan. - UTM Newshub
