Lafaz ikrar jadi langkah pertama pelajar baharu UPNM bina jati diri
SERAMAI 272 pelajar baharu Program Diploma Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melafazkan ikrar sebagai simbol komitmen dan permulaan perjalanan mereka sebagai warga universiti sempena Minggu Perkasa Jati Diri (MPJD) Diploma 2026.
Majlis yang berlangsung dari 14 hingga 19 Jun itu disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad, serta dihadiri barisan pengurusan tertinggi universiti.
Lafaz ikrar tersebut bukan sekadar tradisi tahunan, sebaliknya menjadi simbol kesediaan pelajar untuk menghayati nilai disiplin, integriti, kecemerlangan dan patriotisme sepanjang bergelar mahasiswa UPNM.
Bagi pengambilan kali ini, seramai 146 pelajar mengikuti Program Diploma Kecergasan Pertahanan, diikuti Diploma Pengurusan Logistik (50 pelajar), Diploma Pentadbiran Perniagaan (44 pelajar) dan Diploma Tahfiz dan Tafsir Al-Quran (32 pelajar).
Jumlah kemasukan itu mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap peranan UPNM dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi yang mampu memenuhi keperluan sektor pertahanan, keselamatan dan industri negara.

Sepanjang Minggu Perkasa Jati Diri, pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah, kepimpinan, kerja berpasukan dan penyesuaian diri dengan kehidupan kampus.
Menurut Arman Rumaizi, lafaz ikrar yang dibaca oleh pelajar perlu diterjemahkan melalui tindakan sepanjang tempoh pengajian.
"Ikrar ini bukan sekadar ungkapan, tetapi perlu difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan sebagai mahasiswa UPNM," katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian kerana pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh universiti.
Katanya, bantuan kepada pelajar daripada golongan B40, asnaf serta mereka yang berdepan situasi kecemasan disediakan bermula sebelum pendaftaran, sepanjang tempoh pengajian sehingga tamat pengajian.
"UPNM sentiasa komited memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara. Ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang kerana universiti akan membantu menguruskan keperluan pelajar, manakala mahasiswa pula perlu memberi tumpuan kepada akademik, membina jati diri dan sentiasa peka dengan perkembangan di kampus," katanya.
Beliau berkata, di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UPNM, usaha membangunkan bakat negara tidak boleh dinilai dengan wang ringgit kerana mahasiswa hari ini merupakan pemimpin masa depan negara.
Bagi sesi kemasukan tahun ini, UPNM dijangka menerima seramai 1,004 pelajar baharu bagi program Asasi dan Diploma, termasuk 732 pelajar Program Asasi. Sementara itu, kira-kira 1,600 pelajar Program Sarjana Muda dijadualkan mendaftar pada September depan.
