Universiti perlu perkasa peranan sebagai enjin pertumbuhan negara
INSTITUSI pengajian tinggi awam (IPTA) tidak boleh lagi bergerak secara silo atau bersikap pasif, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Azlinda Azman.
Beliau berkata, universiti kini perlu memainkan peranan sebagai enjin pertumbuhan negara, pusat rekonsiliasi sosial dan penyelesai masalah komuniti yang dinamik.
"Universiti tidak boleh hanya fokus kepada pencapaian yang menarik semata-mata. Sebaliknya, setiap ringgit peruntukan yang diberikan kepada universiti mestilah dipulangkan dalam bentuk impak nyata kepada landskap nasional dan juga global," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Sinergi Putra Universiti Putra Malaysia (UPM) 2026 di sini pada Isnin.
Azlinda berkata, Bulan Sinergi Putra 2026 yang berlangsung sepanjang Jun, merupakan inisiatif strategik yang mencerminkan komitmen UPM dalam memperkukuh pelaksanaan agenda universiti secara menyeluruh melalui penglibatan aktif seluruh warga kampus.
"UPM sedang menghantar isyarat jelas kepada semua industri, komuniti dan kerajaan bahawa segala penemuan serta inovasi yang lahir daripada universiti itu bersedia untuk diterjemahkan demi kemampanan sejagat," katanya.
Bulan Sinergi Putra 2026 merupakan inisiatif UPM bagi memperkukuh pelaksanaan agenda universiti secara menyeluruh melalui penglibatan aktif warga kampus, di samping memperkukuh budaya kolaborasi, keterangkuman dan kebersamaan dalam menjayakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan negara.
Program itu digerakkan berlandaskan lima fokus strategik UPM, iaitu pertanian dan keterjaminan makanan, kesihatan planet dan kelestarian, kesohoran global, kesejahteraan warga dan Jiwa Putra (khidmat sukarela warga UPM). - Bernama

