KPT pertimbang tindakan undang-undang terhadap dakwaan kemasukan IPTA
KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius dakwaan yang terus dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah berhubung sistem kemasukan ke universiti awam.
Menurut KPT, tuduhan kononnya universiti awam sedang 'menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit' serta dakwaan wujud puluhan ribu pelajar memasuki institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) melalui 'pintu belakang' merupakan kenyataan yang berat dan berpotensi menjejaskan reputasi sistem pendidikan tinggi negara.
Kenyataan itu merujuk kepada rakaman video ucapan Dr Haim Hilman yang disiarkan menerusi Facebook sempena Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan pada 13 Jun lalu.
KPT menegaskan bahawa dakwaan sedemikian bukan kali pertama dibangkitkan oleh beliau dan kementerian sentiasa terbuka terhadap kritikan yang membina serta berasaskan fakta.
Bagaimanapun, menurut kementerian, sebarang tuduhan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara perlu disertakan dengan bukti yang kukuh.
"Tuduhan seperti ini bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara, termasuk universiti awam, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KPT memaklumkan bahawa pihaknya sedang meneliti dan mempertimbangkan tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya bagi mempertahankan integriti kementerian, universiti awam dan sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah serta tuduhan yang tidak berasas.
Kementerian turut menegaskan bahawa ia tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengemukakan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat.

