Celik AI, celik masa depan
JIKA suatu ketika dahulu perpustakaan hanya sinonim sebagai tempat membaca dan meminjam buku, kini fungsinya semakin berkembang sebagai pusat pembelajaran teknologi dan pembangunan komuniti.
Selari dengan perkembangan dunia digital, perpustakaan turut menjadi platform penting untuk memperkenalkan teknologi baharu kepada masyarakat, termasuk Kepintaran Buatan (AI).
Menyedari keperluan itu, Fakulti Sains Maklumat Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan Program Artificial Intelligence Literacy (AiLit) Experience @ Library 2026 dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Daerah Kuala Langat.
Program berimpak tinggi itu dilaksanakan bagi memperkukuh literasi digital dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan teknologi AI secara beretika, kreatif dan bertanggungjawab.
Penganjuran program tersebut turut selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi pendekatan Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM), yang menghubungkan institusi pengajian tinggi dengan komuniti melalui aktiviti pemindahan ilmu dan penyelesaian masalah masyarakat.

Melalui pendekatan itu, mahasiswa bukan sahaja memperoleh pengalaman pembelajaran secara praktikal, malah berpeluang memahami realiti serta cabaran yang dihadapi masyarakat dalam mendepani era digital.
Pensyarah penasihat program, Dr A’dillah Mustafa berkata, AiLit Experience @ Library 2026 bertujuan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak dan masyarakat mengenai teknologi AI serta membimbing mereka memahami penggunaannya secara lebih selamat dan beretika.
Menurut beliau, masyarakat perlu bersedia menghadapi perubahan teknologi global yang berkembang pantas agar tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital.
“AI bukan sekadar teknologi, tetapi satu kemahiran masa depan yang perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat. Program seperti ini membantu membentuk generasi muda yang lebih celik digital, kreatif dan bertanggungjawab dalam menggunakan teknologi,” katanya.
Program itu diterajui Pengarah Projek, Mohamad Izzad Hakimi Shahrul Azlan bersama barisan jawatankuasa mahasiswa Fakulti Sains Maklumat UiTM.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif dan mesra komuniti dilaksanakan menerusi empat tema utama iaitu Next Generation Navigators, AI Helps Me Decide, AI Safety Guide dan AI for Real Life.
Setiap tema dirangka bagi membantu peserta memahami peranan AI dalam kehidupan harian termasuk dalam pembelajaran, keselamatan digital, penyelesaian masalah serta membuat keputusan secara lebih berkesan.
Selain sesi perkongsian ilmu, peserta turut didedahkan dengan demonstrasi aplikasi AI, permainan pendidikan, aktiviti berkumpulan dan simulasi penggunaan teknologi tersebut dalam situasi sebenar.
Pendekatan pembelajaran yang santai dan interaktif berjaya menarik minat peserta daripada pelbagai peringkat umur, khususnya murid sekolah rendah yang menunjukkan keterujaan tinggi untuk mengenali teknologi AI dengan lebih dekat.
Lebih menarik, program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah membuka peluang kepada mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti kesukarelawanan, pembangunan komuniti dan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Penglibatan tersebut membantu memperkukuh kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan, kreativiti dan penyelesaian masalah, selari dengan hasrat KPT melahirkan graduan holistik, seimbang dan berdaya saing.
Pada masa sama, program berkenaan turut memperlihatkan keberkesanan model Triple Helix yang menekankan sinergi antara akademia, industri dan komuniti dalam memperkukuh pembangunan masyarakat berasaskan ilmu serta teknologi.

Kerjasama strategik bersama PPAS Daerah Kuala Langat juga membuktikan perpustakaan awam kini memainkan peranan lebih besar sebagai hab pembelajaran komuniti dan pusat pembangunan ilmu sepanjang hayat.
Program AiLit Experience @ Library 2026 telah dirasmikan oleh Koordinator Program Pengurusan Perpustakaan Fakulti Sains Maklumat UiTM, Kasmarini Baharuddin bersama wakil PPAS, Norafidah Muhd Wirsat.
Program itu berjaya menarik penyertaan lebih 150 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.
Sambutan menggalakkan yang diterima membuktikan masyarakat semakin terbuka untuk memahami teknologi AI serta kepentingan literasi digital dalam kehidupan harian.
Malah, program seumpama ini mempunyai potensi besar untuk diperluaskan ke lebih banyak komuniti pada masa hadapan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus transformasi digital negara.

