Tak ada latar belakang pertanian? Tiada masalah!
SIAPA sangka bidang pertanian bukan lagi hanya untuk pelajar atau individu yang mempunyai latar belakang agromakanan. Minat untuk bercucuk tanam kini semakin mendapat tempat apabila seramai 72 peserta daripada pelbagai latar belakang menyertai Kursus Asas Pertanian Bandar anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pejabat Pendaftar.
Program tersebut dilaksanakan sebagai usaha memperluaskan pengetahuan dan kemahiran asas pertanian bandar dalam kalangan warga kampus serta komuniti, sekali gus membuktikan bahawa aktiviti bercucuk tanam boleh dipelajari dan diamalkan oleh sesiapa sahaja.

Kursus berkenaan diadakan di bawah inisiatif Keterjaminan Makanan UPM sempena Bulan Sinergi Putra, sejajar dengan usaha memperkukuh sekuriti makanan negara menerusi peningkatan kesedaran, kemahiran komuniti dan amalan pertanian berskala kecil.
Penganjurannya turut selari dengan hala tuju Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi, selain mengutamakan aspek sekuriti makanan serta kesejahteraan rakyat.
Sepanjang kursus berlangsung, peserta didedahkan dengan enam modul utama merangkumi pengenalan asas pertanian bandar, demonstrasi semaian biji benih, pemindahan anak pokok, bancuhan Baja AB, penghasilan Mol Organik serta biopestisid.
Pendekatan teori dan amali yang diterapkan membolehkan peserta memahami konsep pertanian bandar secara lebih praktikal. Malah, mereka turut berpeluang melakukan sendiri aktiviti penanaman dan membawa pulang hasil tanaman masing-masing untuk diaplikasikan di kediaman.

Inisiatif seperti ini dilihat semakin relevan dalam situasi semasa yang menyaksikan masyarakat berdepan peningkatan kos sara hidup, perubahan iklim serta kebergantungan kepada bekalan makanan luar. Pada masa sama, ia membantu membina daya tahan isi rumah dalam mendapatkan sumber makanan yang lebih mampan.
Walaupun dilaksanakan dalam skala kecil, pertanian bandar berpotensi menjadi alternatif yang berkesan untuk menghasilkan sebahagian keperluan makanan sendiri, mengoptimumkan penggunaan ruang kediaman dan menggalakkan gaya hidup lestari.
Selain memberi manfaat kepada warga UPM, kursus tersebut turut berpotensi menjadi model pemindahan ilmu kepada komuniti setempat, khususnya penduduk bandar yang mempunyai ruang terhad tetapi berminat mengusahakan tanaman makanan di rumah, kawasan kejiranan atau kebun komuniti.
Seiring semangat Bulan Sinergi Putra, program ini membuktikan peranan UPM sebagai universiti berteraskan pertanian bukan sahaja dalam bidang penyelidikan dan pengajaran, malah sebagai institusi yang aktif membudayakan ilmu pertanian untuk dimanfaatkan secara langsung oleh masyarakat.

