11 mahasiswa USIM galas misi dakwah di bumi sakura
Ramadan tahun ini membawa makna berbeza buat 11 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila mereka bukan sahaja menggalas amanah sebagai imam solat tarawih di Osaka, Jepun, malah membawa misi dakwah dan imej Malaysia ke pentas antarabangsa.
Salah seorang daripadanya, Muhammad Hanif Zakaria, 25, berkata, penyertaan dalam Program Imam Tarawih Pelajar USIM di Osaka dari 16 Februari hingga 25 Mac 2026 bukan sekadar tugasan memimpin solat, sebaliknya satu amanah besar.
“Kehadiran kami bukan hanya untuk mengimamkan tarawih, tetapi turut membawa misi dakwah serta memperkenalkan imej Malaysia di bumi Jepun,” ujarnya.
Anak bongsu daripada lima beradik yang mengikuti Program Pengajian Qiraat itu mengakui pengalaman kali ini hadir dengan cabaran tersendiri, lebih-lebih lagi selepas beliau pernah berkhidmat sebagai imam di New Zealand tahun lalu.
“Di New Zealand, saya tidak berdepan kesukaran besar kerana masyarakat di sana menggunakan bahasa Inggeris. Namun di Jepun, walaupun kita boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, kita tetap perlu memahami dan mempelajari bahasa mereka.
“Jepun lebih mencabar dari sudut bahasa serta perbezaan budaya masyarakat tempatan,” katanya kepada Sinar Varsity.

Menurutnya, persiapan yang dilakukan tidak hanya memfokuskan aspek hafazan al-Quran, malah melibatkan latihan komunikasi serta pemahaman terhadap norma dan adab masyarakat Jepun.
Beliau bersyukur apabila Iqra’ Centre dengan kerjasama Japanese Language & Culture Centre (JLCC) menyediakan kursus pendedahan bahasa serta panduan tatacara kehidupan di Jepun sebagai persediaan awal sebelum berlepas.
“Keutamaan sudah tentu pada tahap hafazan kerana kami dihantar sebagai imam. Dalam masa sama, kami perlu memahami cara hidup, adab, peraturan dan budaya masyarakat di sana yang sangat menitikberatkan disiplin,” jelasnya.
Bagi Muhammad Hanif, peluang tersebut memberi ruang untuk menyelami sendiri suasana Ramadan di Jepun, termasuk pengalaman berpuasa dengan tempoh waktu siang yang berbeza.
“Kami bukan sekadar memimpin solat, tetapi turut berdakwah, mengajar al-Quran dan menampilkan wajah Islam dari Malaysia,” katanya.
Titik baharu perjalanan dakwah
Bagi Muhammad Syuwari Mana Sikana, 23, peluang menjadi imam di Masjid Hira, Jepun menjadi titik baharu dalam perjalanan dakwahnya.
Menurutnya, cabaran utama ketika ini adalah komunikasi bersama masyarakat setempat yang majoritinya terdiri daripada warga Jepun, Bangladesh, Pakistan serta Indonesia.
“Cabaran paling ketara adalah untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling kerana latar belakang mereka berbeza-beza. Kita perlu bijak menyesuaikan diri dan mencari pendekatan terbaik,” kata anak kelahiran Terengganu yang kini menetap di Kelantan.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya menjadi imam tarawih di luar negara. Sebelum ini, hanya memimpin solat tarawih di Malaysia.
“Perasaannya sudah tentu berbeza. Ini kali pertama saya menjadi imam tarawih di luar negara. Sebelum ini saya biasa imam di Malaysia sahaja,” ujarnya yang juga merupakan anak ketiga daripada empat orang adik beradik.

Sepanjang berada di sana, selain mengimamkan solat fardu dan tarawih, beliau turut menyampaikan tazkirah serta khutbah Jumaat.
“Setakat ini, tiada jadual aktiviti lain yang diaturkan,” katanya.
Mengulas tentang perasaan menyambut Ramadan dan Aidilfitri jauh daripada keluarga, Muhammad Syuwari mengakui emosinya bercampur-baur.
“Kita rasa gembira kerana dapat merasai pengalaman berpuasa dan beraya di tempat orang, namun dalam masa sama, ada juga rasa sedih kerana berjauhan dengan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan nasihat kepada mereka yang berhasrat mengikuti jejak langkah sebagai imam di luar negara.
“Perkara paling penting ialah betulkan niat. Datang untuk berdakwah, bukan semata-mata kerana elaun atau nama, juga kena kuat mental dan ikhlas kerana Allah SWT.
“Selain itu, perlu mantapkan hafalan al-Quran serta jaga sikap dan akhlak kerana kita membawa imej Islam dan Malaysia,” katanya lagi.
Bagi Muhammad Syuwari, peluang ini bukan sekadar pengalaman peribadi, tetapi ruang untuk menyantuni ummah dan memperluas dakwah di peringkat antarabangsa.
Seorang lagi pelajar, Nik Muhammad Asif Azim Nik Muhammad Zailani, bersyukur rezeki Ramadan tahun ini membawa beliau lebih jauh apabila dilantik sebagai imam tarawih di Shiga Masjid, Kusatsu, Shiga, Jepun.
Menurutnya, antara cabaran utama sepanjang berada di sana adalah menyesuaikan diri dengan perbezaan suhu yang ketara berbanding Malaysia sehingga mencecah -2 darjah Celsius.
“Cuaca di sini sangat berbeza. Ia memerlukan masa untuk membiasakan diri, terutama dari segi fizikal,” kata anak kelahiran Machang, Kelantan itu.
Selain faktor cuaca, beliau turut berdepan cabaran mental dan fizikal dalam memastikan hafalan al-Quran serta hukum tajwid benar-benar mantap sebelum memimpin jemaah.
“Sebagai imam, hafalan perlu kuat dan bacaan mestilah tepat. Pada masa sama, saya perlu memastikan tahap kesihatan sentiasa baik agar dapat memimpin solat tarawih sepanjang Ramadan,” ujarnya.
Kata anak bongsu daripada lima beradik itu, pelantikan itu disifatkan sebagai satu kejutan menggembirakan buat dirinya apabila berjaya melepasi sesi temu duga yang dihadiri kira-kira 30 calon.
“Saya sangat teruja apabila mendapat tahu berjaya dalam temu duga tersebut. Perkara pertama yang saya lakukan ialah menelefon mak dan ayah untuk berkongsi berita gembira ini.
“Namun dalam masa sama, saya juga berasa gemuruh dan bimbang kerana amanah ini sangat besar,” katanya.
Mengulas mengapa pengalaman itu dianggap paling berharga dalam hidupnya, Nik Muhammad Asif berkata, inilah kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Jepun, bukan untuk melancong tetapi semata-mata bagi mengimamkan solat tarawih.
“Siapa sangka dengan hafazan al-Quran mampu membawa saya ke luar negara. Saya sangat bersyukur atas galakan dan sokongan padu daripada kedua-dua ibu bapa saya, Kasmah Che Husin dan Nik Muhammad Zailani Othman serta adik-beradik sejak kecil lagi,” katanya.
Bagi beliau, peluang ini bukan sekadar pengalaman luar negara, tetapi simbol keberkatan ilmu al-Quran yang membuka jalan dakwah merentasi sempadan.
Pemilihan rapi, latihan intensif
Program Imam Tarawih Pelajar USIM di Osaka merupakan inisiatif Kumpulan Penyelidik Iqra’ Centre di bawah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM.
Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Ts. Dr Sharifudin Md Shaarani dalam kenyataan baru-baru ini berkata, penglibatan pelajar universiti itu mencerminkan keyakinan pihak luar terhadap kualiti pelajar serta pendekatan pendidikan Islam yang diterapkan di USIM.

“Saya melihat peluang ini sebagai ruang terbaik untuk pelajar mempraktikkan ilmu yang dipelajari, di samping membawa imej institusi yang menekankan integrasi ilmu Naqli dan Aqli.
“Pengalaman berkhidmat sebagai imam di peringkat antarabangsa ini bukan sahaja menguji keupayaan ilmu dan kemahiran pelajar, malah membentuk keperibadian serta kefahaman mereka dalam konteks masyarakat lebih luas,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kumpulan Penyelidik Iqra’ Centre FPQS, Dr Norazman Alias menjelaskan, seramai 30 calon daripada beberapa fakulti telah melalui sesi temu duga sebelum 11 pelajar dipilih.
“Pemilihan dibuat berdasarkan keupayaan bacaan al-Quran, kefahaman agama serta kesediaan berkhidmat dalam persekitaran masyarakat minoriti Muslim,” jelasnya.
Sebagai persediaan awal, kesemua pelajar mengikuti kursus intensif bermula 3 hingga 11 Februari 2026 merangkumi latihan asas Bahasa Jepun serta pemantapan bacaan dan penghayatan al-Quran di bawah bimbingan pensyarah USIM.
