Industri dan kampus berganding bahu lahirkan tenaga kesihatan masa depan
PERMINTAAN terhadap tenaga profesional dalam bidang penjagaan kesihatan dan penjagaan warga emas terus meningkat, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada golongan muda yang berminat menceburi sektor tersebut.
Menyedari keperluan itu, Cyberjaya College Kuching menjalin kerjasama strategik dengan Optimum-Eden Healthcare Sdn Bhd, pengendali Eden On The Park Senior Lifestyle & Care Residence Resort, bagi menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih dekat dengan keperluan industri.
Kerjasama tersebut dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani sempena Hari Terbuka Cyberjaya College Kuching baru-baru ini.
Melalui kerjasama itu, pelajar berpeluang menjalani penempatan klinikal, latihan industri berstruktur serta pelbagai program pembangunan kerjaya yang dapat membantu mereka membina kemahiran dan pengalaman sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cyberjaya College Kuching, Doreen Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Optimum-Eden Healthcare Sdn Bhd, Simon Yong.
Menurut Doreen, kerjasama berkenaan memberi peluang kepada pelajar untuk memahami situasi sebenar dalam bidang penjagaan kesihatan dan penjagaan warga emas.
“Pelajar bukan sahaja mempelajari teori di dalam kelas, malah mereka turut berpeluang memperoleh pengalaman praktikal dalam persekitaran kerja sebenar.
“Pendedahan seperti ini penting untuk membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran profesional dan membantu mereka bersedia menghadapi cabaran industri selepas tamat pengajian,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan jumlah warga emas serta perkembangan sektor penjagaan kesihatan di Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran dan terlatih.
Sehubungan itu, kerjasama antara institusi pendidikan dan industri dilihat penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan memenuhi keperluan semasa pasaran pekerjaan.
Eden On The Park yang beroperasi di beberapa lokasi di Sarawak termasuk Kota Samarahan menawarkan perkhidmatan rehabilitasi dan penjagaan kejururawatan serta mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kemudahan tersebut membolehkan pelajar menjalani latihan dalam persekitaran profesional yang mematuhi piawaian industri.
Selain memberi manfaat kepada pelajar, kerjasama itu turut menyokong usaha Sarawak melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan dalam sektor penjagaan kesihatan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).
Melalui gabungan kepakaran akademik dan pengalaman industri, kedua-dua organisasi berharap dapat melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan sektor penjagaan kesihatan pada masa hadapan.
Kerjasama ini sekali gus membuktikan bahawa pembelajaran di institusi pengajian tinggi bukan lagi terhad di bilik kuliah, sebaliknya turut melibatkan pengalaman dunia sebenar yang membantu mahasiswa membina laluan kerjaya sejak awal pengajian.
