UPSI lahirkan guru berjiwa pendidik untuk negara
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya melahirkan graduan Pendidikan yang memiliki Jiwa Pendidik dalam mendidik anak bangsa di seluruh tanah air.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat UPSI di Auditorium UPSI semalam menganggap tema hari guru peringkat nasional “Guru Bitara, Nadi Negara” bertepatan konsep Peneraju Kebitaraan Pendidikan yang digunapakai oleh UPSI.
Katanya, UPSI menekankan amanah seorang guru sebagai pemacu kecemerlangan pendidikan dan pembina masa depan negara dalam memberi sumbangan bakti demi membangunkan modal insan negara.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa guru bukan sekadar penyampai ilmu, malah berperanan sebagai “guru bitara” yang unggul dalam mendidik, membimbing dan membentuk sahsiah pelajar secara holistik.
Katanya, guru mencipta sejarah dalam perjuangan bangsa memperjuangkan kemerdekaan, malah guru bangkit melahirkan generasi bangsa membanggakan dari dulu sehingga sekarang.
Sambutan Hari Guru, katanya, terlalu mulia untuk UPSI sebagai institusi melahirkan pendidik yang hebak untuk berbakti kepada masyarakat.

Beliau melahirkan kebanggaan berikutan institusi ini satu-satunya universiti memiliki nama sultan dari zaman Sultan Idris Training College (SITC) yang melahirkan guru hebat di Malaysia, Singapura, dan Brunei seterusnya era Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) UPSI seterusnya UPSI pada 1997.
“Guru hari ini perlu bersedia menjadi nadi kepada perubahan pendidikan negara. Dalam era digital dan cabaran global, guru bitara ialah mereka yang mampu beradaptasi, berinovasi dan terus memartabatkan profesion keguruan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa UPSI sebagai institusi pendidikan terulung negara sentiasa komited dalam melahirkan guru berkualiti tinggi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai jati diri, nilai integriti dan daya kepimpinan yang kukuh.
“Kita semua di UPSI adalah pendidik yang mengajar tentang pentingnya adab dengan sloga Kebitaan Dalam Pendidikan yang berjaya melahirkan graduan yang hebat personaliti dan menjadi pilihan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP),” katanya.
Menurut beliau lagi, tema “Guru Bitara, Nadi Negara” sangat bertepatan dengan aspirasi pendidikan negara yang menuntut transformasi berterusan dalam kalangan pendidik agar seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan generasi masa kini.
“Saya percaya bahawa kekuatan sesebuah negara bermula daripada bilik darjah dan guru adalah nadi yang menggerakkan denyut pendidikan, dan tanpa mereka, kita tidak akan dapat melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing,” katanya.
Majlis berkenaan katanya, menjadi platform mengeratkan hubungan antara warga akademik, pentadbiran dan pelajar, di samping menyuntik semangat baharu kepada pendidik UPSI untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.
Prof Md Amin berkata, guru keluaran UPSI memiliki jiwa pendidik yang hebat dan bersedia untuk mendepani cabaran dan harapan masyarakat kerana perjalanan hidup seorang guru bukan mudah.
“Tahun ini kita terapkan lima tonggak kepada kakiatangan dan pelajar iaitu Jiwa Ketakwaan, Jiwa Keinsanan, Jiwa Kekeluargaan, Jiwa Kecemerlangan dan Jiwa Pendidik demi meneruskan kecemerlangan dan membina legasi sebuah institusi Pendidikan tersohor,” katanya.
Sambutan tersebut turut diserikan dengan deklamasi sajak serta pelajar menyampaikan cenderahati kepada kalangan akademia serta majlis pembacaan ikrar diketuai, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Raja Nor Safinas Raja Harun.
Sempena majlis diadakah gimik pelancaran program “RM1sehari, Seumur Hidup Berbakti” yang menyaksikan alumni UPSI juga mantan Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson menyerahkan replika cek.
Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni, Dr Omar Firdaus Mohd Said berkata, inisiatif itu dilaksanakan pusat berkenaan bagi mengumpul dana yang bertujuan mengukuhkan tabungan untuk manfaat alumni dan universiti.
