Guna AI bantu ibu hamil, pasukan perubatan UKM juara National Health Hackathon 2026
PASUKAN ObsteriX dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara National Health Hackathon 2026, sekali gus menghadiahkan kemenangan sulung buat UKM dalam pertandingan berprestij itu.
Dalam pertandingan yang menghimpunkan 30 pasukan dari seluruh negara tersebut, pasukan ObsteriX berjaya menambat perhatian juri menerusi inovasi bertajuk “OmniSafe: Diari Kehamilan Global Berkuasakan Kecerdasan Buatan (AI) dengan Peranti Boleh Pakai IoT Pintar.”
Salah seorang peserta, Dr. Nurul Huda Mohd Zainol yang merupakan pelajar program Doktor Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) berkata, inovasi tersebut dibangunkan bagi membantu meningkatkan kesedaran dan pemantauan kesihatan ibu hamil secara lebih sistematik dan berterusan.
Menurut beliau, projek tersebut memberi fokus terhadap usaha mengurangkan kadar kematian bayi dalam kandungan (stillbirth) melalui pendekatan teknologi yang memperkasakan ibu untuk memantau keadaan kehamilan dengan lebih efektif.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa gabungan kepakaran klinikal dan teknologi mampu menghasilkan solusi yang relevan untuk kesihatan ibu,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif itu memberi penekanan terhadap peningkatan kepekaan ibu terhadap perubahan keadaan kehamilan dan bayi, selain menambah baik kaedah pemantauan sedia ada dengan menukarkan maklumat subjektif kepada data yang lebih objektif serta boleh dinilai.
“Pendekatan ini sekali gus menyokong pemantauan dan intervensi klinikal yang lebih berkesan,” ujarnya.
Inovasi tersebut dibangunkan bersama seorang lagi pelajar program Doktor Pakar O&G, Dr. Abdullah Abbas Abdul Halim serta jurutera perisian perubatan dari Sudo127 Sdn Bhd, Dr. Ahmad Zahin Zulkipli di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Ixora Kamisan @ Atan dan Dr. Nurul Wahidah Wagimon.
Menerusi kemenangan itu, pasukan ObsteriX membawa pulang hadiah utama berserta wang tunai RM10,000.
Lebih membanggakan, inovasi berkenaan turut melayakkan mereka menerima dua anugerah khas iaitu Most Creative Solution dan User-Centered Design, sekali gus memperkukuh keupayaan pasukan dalam menghasilkan penyelesaian kesihatan digital yang kreatif serta berfokuskan pengguna.
Kejayaan tersebut turut mendapat sokongan Persatuan Pelajar Siswazah Fakulti Perubatan (PSIFER), sebuah organisasi pelajar pascasiswazah yang aktif memupuk budaya inovasi, kolaborasi dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Pencapaian itu sekali gus menyerlahkan komitmen UKM dalam memperkasa inovasi kesihatan digital serta memperkukuh kerjasama rentas disiplin di peringkat nasional.
National Health Hackathon 2026 dianjurkan oleh Asia Innovative Healthcare Network (AIHN) dan DGA Healthcare Group dengan kerjasama Cradle Fund, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) serta Amazon Web Services (AWS).
Pertandingan itu menjadi platform peringkat kebangsaan yang menghimpunkan idea dan penyelesaian inovatif bagi memperkasa sektor penjagaan kesihatan serta menghasilkan impak positif kepada masyarakat.

