“MAJIKAN hari ini bukan sekadar melihat resume. Mereka juga melihat siapa anda di dunia digital.”

Dalam dunia yang semakin dipengaruhi teknologi dan media sosial, mahasiswa hari ini sedang berhadapan dengan satu realiti baharu.

Persaingan mendapatkan pekerjaan bukan lagi hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan atau sekeping sijil semata-mata. Sebaliknya, identiti digital dan bagaimana seseorang membawa diri di platform dalam talian kini turut menjadi perhatian majikan.

Ramai mahasiswa masih menganggap media sosial hanyalah tempat hiburan dan perkongsian kehidupan peribadi.

- Advertisement / Iklan -

Hakikatnya, platform seperti LinkedIn, TikTok, Instagram dan X kini menjadi sebahagian daripada “resume digital” seseorang individu. Sebelum sesi temuduga berlangsung, ramai majikan sebenarnya telah terlebih dahulu 'menemuduga' calon melalui media sosial mereka.

Apa yang dimuat naik, cara seseorang berkomunikasi, cara memberi pandangan terhadap sesuatu isu, malah cara mereka berinteraksi di ruangan komen juga mampu membentuk persepsi awal majikan.

- Advertisement / Iklan -

Inilah yang dinamakan sebagai personal branding.

Personal branding bukan bermaksud seseorang perlu menjadi influencer terkenal atau mengejar populariti semata-mata.

Sebaliknya, ia adalah tentang bagaimana seseorang mahasiswa memperkenalkan nilai diri, kemahiran, pengalaman, pencapaian dan profesionalisme mereka kepada dunia luar.

Sebagai pensyarah dalam bidang pemasaran, saya sendiri sering menggalakkan pelajar untuk membuka akaun LinkedIn dan mula membina profil profesional mereka sejak di universiti lagi.

Saya selalu mengingatkan pelajar bahawa kejayaan kecil juga wajar dikongsikan secara profesional.

Penyertaan dalam program universiti, aktiviti sukarelawan, pertandingan akademik, projek kelas, pengucapan awam, pengendalian program, malah pengalaman menjadi fasilitator juga boleh dijadikan kandungan yang membina kredibiliti diri.

Mengapa perkara ini penting? Kerana majikan ingin melihat lebih daripada sekadar keputusan akademik. Mereka mahu melihat sikap, kemahiran komunikasi, kepimpinan, penglibatan aktif dan potensi seseorang graduan.

LinkedIn misalnya, kini menjadi platform penting dalam dunia profesional. Mahasiswa yang aktif berkongsi perkembangan akademik dan aktiviti profesional secara matang sebenarnya sedang membina keyakinan diri serta rangkaian kerjaya untuk masa depan mereka.

Dalam bidang pemasaran juga, saya sangat menitikberatkan aspek personaliti, penampilan dan cara seseorang membawa diri.

Saya sering menggalakkan pelajar supaya berpakaian lebih kemas, profesional dan mempunyai penampilan yang lebih menyerlah ketika menghadiri kelas, pembentangan atau program universiti.

Perkara ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, tetapi untuk melatih mereka membina keyakinan diri dan membiasakan diri dengan budaya profesional sebenar.

Realitinya, dunia pekerjaan hari ini sangat kompetitif. Cara seseorang bercakap, berpakaian, berinteraksi dan membawa imej diri mampu memberikan kesan pertama yang sangat besar.

Dalam industri pemasaran khususnya, penampilan profesional dan cara komunikasi sering menjadi refleksi kepada tahap disiplin, keyakinan dan kredibiliti seseorang individu.

Namun begitu, personal branding perlu dibina dengan cara yang betul. Dunia digital hari ini terlalu mudah dipenuhi budaya mengejar likes, followers dan populariti sementara.

Ada mahasiswa yang terlalu obses untuk menjadi viral sehingga terlupa menjaga etika dan imej profesional mereka sendiri.

Lebih membimbangkan, kandungan media sosial yang tidak sesuai kadangkala boleh memberi kesan buruk terhadap peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Mahasiswa perlu memahami bahawa personal branding yang baik bukan tentang menjadi individu yang sempurna di media sosial, tetapi menjadi individu yang autentik, matang dan konsisten menunjukkan nilai positif. Kredibiliti jauh lebih penting daripada populariti.

Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital, graduan yang mampu menyerlahkan diri secara profesional akan mempunyai kelebihan yang besar dalam pasaran pekerjaan. Dunia pekerjaan hari ini mencari individu yang bukan sahaja bijak di dalam kelas, tetapi juga mampu

berkomunikasi, membina jaringan profesional, mempunyai keyakinan diri dan tahu membawa identiti mereka dengan baik.

Universiti juga perlu memainkan peranan penting dalam mendidik mahasiswa mengenai literasi digital dan reputasi dalam talian.

Pendidikan masa kini tidak lagi boleh hanya tertumpu kepada teori di bilik kuliah semata-mata. Mahasiswa perlu dibimbing untuk memahami bagaimana dunia profesional sebenar berfungsi.

Hakikatnya, mahasiswa hari ini bukan lagi sekadar sedang belajar untuk mendapatkan pekerjaan.

Mereka sebenarnya sedang membina nama, reputasi dan jenama diri mereka sendiri sejak dari bangku universiti.

Kerana pada akhirnya, dunia mungkin akan lupa CGPA seseorang graduan. Tetapi dunia akan sentiasa mengingati reputasi dan nilai yang mereka bawa.

* Dr. Masri Abdul Lasi ialah Senior Lecturer in Marketing, UiTM Kampus Dungun Terengganu.