Muzium perlu menjadi sekolah hidup masyarakat
TITAH Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang sempena Simposium dan Mesyuarat Tahunan ICOM ASPAC 2026 membawa satu gagasan besar terhadap masa depan institusi muzium di negara ini.
Titah tersebut menegaskan bahawa muzium tidak seharusnya dilihat sekadar bangunan penyimpan artifak, sebaliknya perlu berfungsi sebagai ruang ingatan, pusat ilmu, penjaga tamadun dan 'sekolah hidup' yang menghubungkan generasi dengan warisan, identiti serta nilai peradaban.
Pemikiran itu amat signifikan dalam konteks peranan Muzium Pendidikan Nasional (MPN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sebagai institusi yang memelihara sejarah pendidikan negara dan mengangkat martabat profesion perguruan sebagai warisan intelektual bangsa.
Tema Hari Muzium Antarabangsa 2026, 'Museums Uniting a Divided World', turut memperkukuh keperluan muzium menjadi jambatan sosial, budaya dan pendidikan antara masyarakat, generasi serta negara.
Dalam hal ini, MPN UPSI berpotensi memainkan peranan strategik sebagai muzium pendidikan yang menghubungkan sejarah guru, nilai kemanusiaan dan pembentukan jiwa pendidik dengan keperluan pendidikan masa depan.
Titah Tengku Ampuan Pahang bahawa muzium perlu berfungsi seperti sekolah hidup amat dekat dengan falsafah UPSI yang lahir daripada tradisi Sultan Idris Training College (SITC).
Jika sekolah mendidik manusia melalui kurikulum, muzium pula mendidik masyarakat melalui objek, dokumen, naratif, pengalaman dan memori.
Justeru, MPN UPSI boleh menerajui satu inisiatif kolaboratif bersama Muzium Pahang, Jabatan Warisan Negara, Institut Pendidikan Guru (IPG), sekolah dan komuniti guru menerusi program Muzium Bergerak Jiwa Pendidik.
Program itu boleh dirangka sebagai platform pendidikan warisan yang membawa koleksi kecil, replika dokumen, bahan visual, cerita lisan, rakaman video serta kit pedagogi ke sekolah-sekolah.
Fokusnya bukan sekadar memperkenalkan sejarah UPSI atau sejarah pendidikan negara, tetapi membina kesedaran bahawa profesion perguruan ialah amanah peradaban.
Guru bukan hanya penyampai ilmu, sebaliknya penjaga nilai, pembentuk akhlak, pemelihara bahasa dan penerus ingatan bangsa.
Dalam dunia yang semakin dipengaruhi teknologi serta perubahan sosial pantas, nilai kemanusiaan dalam pendidikan perlu terus diperkukuh melalui pendekatan berasaskan sejarah dan warisan.
Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan termasuk Peti Warisan Guru yang mengandungi salinan dokumen sejarah pendidikan, gambar tokoh guru, naratif SITC-MPSI-IPSI-UPSI dan bahan audio kisah pendidik terdahulu.
Selain itu, Kelas Hidup Muzium boleh diperkenalkan menerusi sesi interaktif di sekolah yang melibatkan penceritaan kurator, simulasi bilik darjah lama dan aktiviti tafsiran artifak.
MPN UPSI juga boleh memperkenalkan program Guru sebagai Kurator Komuniti bagi melatih guru mendokumentasikan sejarah sekolah, tokoh pendidikan tempatan serta memori komuniti setempat.
Pada masa sama, pembangunan Galeri Maya Pendidikan Negara mampu memperluaskan akses bahan digital dan sejarah lisan kepada murid luar bandar.
Kerjasama antara MPN UPSI dan Muzium Pahang turut boleh diperluas menerusi program Dialog Muzium, Guru dan Peradaban yang menghubungkan wacana sejarah, adat, pendidikan nilai dan pembentukan identiti bangsa dengan latihan keguruan.
Pendekatan sedemikian penting kerana profesion perguruan tidak boleh dipisahkan daripada sejarah, budaya dan moral masyarakat.
Guru yang memahami warisan bangsanya akan lebih mampu mendidik murid dengan jiwa dan nilai, bukan sekadar berpandukan silibus.
Secara keseluruhan, inisiatif ini boleh dilaksanakan bersempena Hari Muzium melalui pameran bergerak, forum pendidikan warisan dan program libat urus sekolah.
MPN UPSI berpotensi menjadi peneraju kepada model pendidikan guru berasaskan pengalaman muzium atau museum-based teacher education yang dapat memperkukuh identiti guru sebagai pendidik berjiwa sejarah, berakar budaya dan berpandangan masa depan.
Sesungguhnya, titah Tengku Ampuan Pahang membuka ruang renungan bahawa muzium perlu kembali kepada fungsi tertingginya, iaitu memelihara makna dan membina kesedaran masyarakat.
Bagi MPN UPSI, makna itu terletak pada usaha menghidupkan sejarah pendidikan negara, memuliakan profesion perguruan dan membawa muzium lebih dekat dengan masyarakat sebagai gerakan ilmu, ingatan dan peradaban untuk generasi akan datang.
* Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said ialah Pengarah, Institut Peradaban Melayu, UPSI
