DALAM perlumbaan mengejar kecemerlangan akademik di peringkat global, kecemerlangan universiti di peringkat antarabangsa sering kali diukur melalui metrik tradisional: output penyelidikan, prestasi dalam ranking global, kebolehpasaran graduan, serta suntikan dana daripada pihak kerajaan mahupun korporat.

Walaupun penanda aras tersebut tetap relevan, ia tidak lagi memadai untuk menggambarkan impak sebenar sesebuah institusi.

Hakikatnya, sejak kebelakangan ini, alumni bukan lagi sekadar nama dalam rekod, tetapi telah menjadi salah satu penggerak strategik ang paling stabil dalam memacu hala tuju dunia pendidikan tinggi.

Alumni bukan lagi sekadar "bekas pelajar" yang sesekali berkumpul untuk majlis makan malam atau perjumpaan semula (reunion).

- Advertisement / Iklan -

Hari ini, mereka adalah rakan strategik, duta institusi, penghubung industri, mentor, pelabur, dan penyumbang utama kepada pembangunan negara.

Bagi universiti terkemuka dunia, penglibatan alumni kini menjadi tunjang utama untuk kekal relevan dan kompetitif di persada global.

- Advertisement / Iklan -

Alumni rakan strategik universiti

Hubungan antara universiti dan alumninya telah berubah wajah.

Jika dahulu fokusnya lebih kepada ikatan sosial, kini ia telah berkembang menjadi kerjasama pelbagai dimensi yang menyokong aspek pengajaran, penyelidikan, inovasi, keusahawanan, hinggalah kepada tadbir urus dan rangkaian global.

Kini, ramai alumni berjaya menganggotai lembaga penasihat universiti dan panel industri.

Pengalaman luas mereka dalam dunia nyata memberikan perspektif berharga yang membantu universiti membuat keputusan yang tepat, sekali gus memastikan kurikulum kekal relevan dengan perubahan ekonomi dan teknologi yang pantas.

Perubahan daripada sekadar 'ikatan emosi' kepada 'penglibatan strategik' ini membuktikan bahawa kejayaan universiti tidak lagi hanya diukur melalui prestij akademik, tetapi melalui impak dan pengaruh nyata yang ditinggalkan.

Menghubungkan institusi pengajian tinggi dengan Industri dan Masyarakat

Sebagai profesional yang menerajui pelbagai sektor seperti kewangan, teknologi, kesihatan, dan dasar awam, alumni membentuk satu jambatan penghubung yang menukarkan teori akademik kepada amalan sebenar di lapangan.

Menerusi program mentor dan kolaborasi industri, mereka memastikan ilmu yang diajar di kampus sentiasa "berpijak di bumi nyata" dan selari dengan kehendak pasaran kerja.

Bantuan alumni dalam menyediakan peluang latihan industri bukan sekadar memberi pendedahan awal kepada pelajar, tetapi benar-benar menggilap potensi mereka untuk lebih laku di pasaran.

Malah, banyak projek penyelidikan bersama serta kelahiran syarikat pemula bermula daripada hubungan erat ini.

Ini membuktikan bahawa alumni bukan sekadar penyokong di belakang tabir, tetapi merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Alumni: mentor dan pemangkin peluang kerjaya

Dalam dunia yang semakin mencabar, kebolehpasaran graduan kini menjadi penanda aras paling kritikal bagi sesebuah universiti.

Di sinilah rangkaian alumni memainkan peranan yang tidak ternilai dengan menghulurkan tangan melalui bimbingan kerjaya dan rujukan kerja, sekali gus mempermudah transisi pelajar dari dewan kuliah ke alam pekerjaan.

Untuk golongan muda yang merupakan generasi pertama dalam keluarga melangkah ke menara gading, sokongan alumni boleh menjadi titik perubahan dalam kehidupan mereka.

Akses kepada rangkaian profesional serta bimbingan yang jelas membantu merapatkan jurang peluang dan membuka laluan yang lebih luas ke arah masa depan.

Mengukuhkan reputasi dan nama IPT di peringkat global

Walaupun kedudukan ranking sering dipacu oleh metrik akademik, namun kepercayaan masyarakat terhadap sesebuah universiti sebenarnya banyak dipengaruhi oleh kejayaan alumninya.

Alumni yang kini bergelar pemimpin korporat, inovator, atau tokoh masyarakat secara tidak langsung menjadi "duta" yang menjulang nama baik alma mater mereka.

Kejayaan nyata mereka bukan sahaja menarik minat pelajar berkualiti, malah membina keyakinan industri untuk terus bekerjasama.

Sering kali, reputasi sesebuah universiti lebih dikenali melalui pencapaian hebat graduan mereka berbanding kedudukan rasmi dalam carta ranking antarabangsa.

Kelestarian kewangan melalui semangat filantropi

Di peringkat global, sumbangan alumni telah lama menjadi tonggak kelestarian kewangan universiti.

Sama ada melalui dana wakaf, biasiswa, mahupun pembangunan infrastruktur, segalanya disokong oleh semangat kedermawanan mereka.

Menariknya, alumni kini tidak lagi melihat sumbangan mereka sebagai derma biasa, tetapi sebagai pelaburan strategik demi masa depan pendidikan negara.

Biasiswa daripada alumni membuka peluang buat pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, manakala dana penyelidikan pula memacu inovasi yang memberi pulangan kepada ekonomi.

Usaha kolektif ini mengurangkan kebergantungan kepada dana awam dan mengukuhkan daya tahan universiti.

Pembelajaran sepanjang hayat dan bakti sosial

Universiti moden kini tidak lagi melihat pendidikan sebagai satu transaksi yang tamat selepas hari konvokesyen.

Sebaliknya, ia adalah perjalanan pembelajaran sepanjang hayat di mana alumni terus terikat dengan perkembangan ilmu di kampus melalui kursus profesional dan kolaborasi penyelidikan.

Di luar bidang akademik, persatuan alumni turut menjadi wadah tanggungjawab sosial, daripada bantuan kemanusiaan sehinggalah kempen alam sekitar.

Ini mengukuhkan lagi peranan universiti sebagai penggerak kemajuan masyarakat yang sebenar.

Dalam melihat peranan strategik alumni tidak sekadar dilihat sekadar simbolik, universiti perlu meletakkan pengurusan alumni sebagai strategi utama institusi.

Pelaburan dalam teknologi digital dan rangkaian data adalah perlu untuk memudahkan hubungan ini terus terjalin.

Namun, yang paling utama adalah memupuk budaya 'rasa memiliki' sejak mereka masih bergelar pelajar lagi.

Apabila pelajar rasa dihargai sebagai rakan masa depan, dan bukannya sekadar 'pelanggan sementara', ikatan setia akan terbina secara semula jadi.

Bagi setiap alumni, memberi semula (giving back) adalah kesinambungan perjalanan pertumbuhan dan kepimpinan.

Kuasa sebenar alumni bukanlah terletak pada jumlah wang semata-mata, tetapi pada kemampuan mereka menghubungkan universiti dengan industri dan masa depan.

Akhir kata, masa depan universiti tidak hanya dibina oleh dinding kampusnya, tetapi oleh kekuatan komuniti yang pernah belajar di dalamnya dan kini menerajui dunia di luarnya.

* Dr. Roslan Ja’afar ialah Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, UKM