SELAKU graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perakaunan dan Kewangan serta bekas Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Perakaunan dan Kewangan UCSI University Kuala Lumpur, saya sentiasa menganggap perjalanan saya di UCSI sebagai antara keputusan paling penting dalam kehidupan saya.

Saya bukan sekadar memperoleh segulung ijazah di universiti ini, tetapi turut membina jaringan persahabatan, mempelajari kepimpinan, mengasah kemahiran insaniah dan memahami dunia pekerjaan sebenar dalam suasana pendidikan yang sangat kompetitif.

Ramai mengenali UCSI hari ini sebagai sebuah universiti swasta bertaraf dunia, namun tidak ramai mengetahui bagaimana perjalanan institusi ini bermula. Kisah UCSI sebenarnya cukup luar biasa kerana ia tidak lahir terus sebagai sebuah universiti besar dengan bangunan pencakar langit dan ribuan pelajar.

Sebaliknya, UCSI bermula dengan penuh kesederhanaan. Pengasasnya, Datuk Peter Ng, pernah menceritakan bahawa UCSI bermula daripada sebuah institut latihan komputer kecil yang hanya mempunyai dua komputer di tingkat dua sebuah lot kedai di SS2.

- Advertisement / Iklan -

Lebih menyentuh hati, pembangunan awal UCSI banyak dipengaruhi oleh pengorbanan ayah beliau, Ng Choong Look, yang membantu membina asas institusi ini dari bawah.

Daripada pengalaman tersebut lahirlah nilai yang menjadi identiti UCSI sehingga ke hari ini, iaitu keberanian untuk bermimpi besar, ketabahan menghadapi cabaran, integriti dalam setiap tindakan dan komitmen terhadap kecemerlangan.

- Advertisement / Iklan -

Nilai-nilai inilah yang akhirnya menjadi asas transformasi UCSI daripada sebuah institut kecil kepada universiti yang disegani di peringkat dunia.

Ditubuhkan pada tahun 1986, UCSI kini berkembang menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi yang mempunyai rangkaian kampus yang luas. Kampus utamanya terletak di Kuala Lumpur, manakala kampus lain berada di Kuching, Sarawak, Springhill di Negeri Sembilan serta sebuah kampus antarabangsa di Bangladesh.

Perkembangan ini menunjukkan bagaimana UCSI tidak lagi tertumpu kepada pendidikan tempatan semata-mata, tetapi bergerak aktif sebagai institusi pendidikan bertaraf global dengan pengaruh antarabangsa yang semakin berkembang.

Pertumbuhan UCSI juga dapat dilihat melalui pembangunan fizikal kampusnya. Sempena sambutan ulang tahun ke-40 universiti itu, UCSI mengumumkan pembinaan dua blok baharu setinggi 38 tingkat yang bakal menambah hampir satu juta kaki persegi ruang operasi kampus Kuala Lumpur.

Pembesaran ini dijangka menampung lebih 3,000 pelajar tambahan pada masa hadapan.

Apa yang lebih menarik, pembangunan tersebut bukan sekadar pembinaan bangunan biasa.

Kompleks baharu ini bakal menempatkan sebuah pusat seni persembahan moden yang dilengkapi dengan dewan utama berkapasiti 2,500 tempat duduk, dewan resital 600 tempat duduk, teater Black Box yang memuatkan 400 penonton serta lebih 400 studio latihan dan bilik muzik.

Pelaburan besar ini sejajar dengan kekuatan UCSI dalam bidang muzik dan seni persembahan yang berada dalam kelompok terbaik dunia.

Dari sudut kepimpinan pula, UCSI dipimpin oleh tokoh-tokoh yang mempunyai pengalaman besar dalam dunia akademik, dasar awam dan pembangunan negara.

Canselor UCSI kini ialah Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, seorang tokoh intelektual awam yang terkenal serta pengasas Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS). Beliau juga aktif dalam bidang reformasi dasar, pembangunan masyarakat, kebudayaan dan pendidikan.

Pengalaman luas beliau dalam pelbagai organisasi tempatan dan antarabangsa menjadikan pelantikan beliau sebagai Canselor satu simbol komitmen UCSI terhadap kecemerlangan intelektual dan kepimpinan negara.

Naib Canselor dan Presiden UCSI pula ialah Profesor Emeritus Datuk Ts Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, seorang tokoh pendidikan tinggi negara yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan kerajaan.

Sebelum menyertai UCSI, beliau pernah memegang jawatan penting seperti Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Sumbangan beliau kepada pembangunan pendidikan tinggi negara juga sangat besar. Antara inisiatif penting yang pernah dikaitkan dengan beliau ialah pelaksanaan sistem iCGPA, program CEO@Faculty, program 2u2i dan pelbagai transformasi pendidikan tinggi negara.

Ketika pandemik Covid-19 pula, beliau memainkan peranan penting dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Di bawah kepimpinan beliau, UCSI terus menunjukkan peningkatan ketara dalam ranking universiti dunia.

Hari ini, UCSI berada dalam kelompok satu peratus universiti terbaik dunia dengan kedudukan sekitar 265 hingga 269 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings. Kedudukan ini meletakkan UCSI sebagai antara universiti swasta terbaik di Asia.

Lebih membanggakan, UCSI turut mencatat pencapaian luar biasa apabila menjadi universiti Malaysia yang mempunyai bilangan subjek terbanyak dalam kelompok 50 terbaik dunia.

Bidang muzik dan seni persembahan UCSI kini berada pada kedudukan ke-24 dunia, bidang seni dan reka bentuk berada pada kedudukan ke-29 dunia manakala bidang hospitaliti pula berada pada kedudukan ke-47 dunia.

Pencapaian ini membuktikan bahawa kekuatan UCSI bukan hanya tertumpu kepada satu bidang semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai disiplin ilmu.

UCSI juga mempunyai struktur akademik yang sangat luas melalui pelbagai fakulti dan institut khusus.

Antaranya termasuk Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Kejuruteraan, Teknologi dan Alam Bina, Fakulti Hospitaliti dan Pengurusan Pelancongan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Sains Farmaseutikal, Fakulti Sains Sosial dan Seni Liberal, Institut Sains Komputer dan Inovasi Digital, Institut Muzik, Institut Bahasa, Institut Sains Aktuari dan Analitik Data, Institut Sains Diplomasi dan Kelestarian Antarabangsa serta De Institute of Creative Arts and Design.

Secara keseluruhannya, UCSI menawarkan lebih daripada 150 program pengajian merangkumi diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam pelbagai bidang.

Semasa saya menuntut di UCSI sebagai pelajar Perakaunan dan Kewangan, antara perkara paling saya rasai ialah suasana persaingan yang sangat unik.

UCSI bukan universiti biasa kerana ia menghimpunkan lebih 15,000 pelajar daripada lebih 120 negara di seluruh dunia. Kira-kira 30 peratus daripada populasi pelajarnya pula terdiri daripada pelajar antarabangsa.

Sebagai seorang pelajar Melayu, saya berada dalam suasana yang majoritinya terdiri daripada pelajar bukan Melayu dan pelajar antarabangsa. Pada awalnya suasana itu agak mencabar kerana saya perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai budaya, bahasa dan cara berfikir yang berbeza. Namun akhirnya saya menyedari bahawa inilah pengalaman sebenar yang mempersiapkan seseorang untuk dunia global.

Hakikatnya apabila memasuki alam pekerjaan, kita tidak bekerja hanya dengan satu kelompok masyarakat sahaja. Kita perlu mampu berinteraksi dan bersaing dengan pelbagai bangsa dan latar belakang. Dan UCSI memberikan pengalaman tersebut lebih awal kepada saya.

Tidak menghairankan apabila lebih 4,800 graduan UCSI berjaya mencapai tahap kebolehpasaran tinggi manakala hampir 98 peratus rakan industri UCSI menyatakan kesediaan mereka untuk mengambil pelajar latihan industri universiti ini sebagai pekerja tetap.

Kemuncak pengiktirafan terhadap UCSI hadir apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri pertama pernah melawat kampus UCSI.

Lawatan tersebut berlangsung sempena sambutan ulang tahun ke-40 UCSI pada 28 April lalu.

Dalam lawatan bersejarah tersebut, Perdana Menteri secara terbuka memuji UCSI dan menyatakan keyakinannya terhadap UCSI dengan menyifatkannya sebagai antara institusi pendidikan utama negara.

Beliau menegaskan bahawa beliau meletakkan harapan besar terhadap UCSI kerana ia telah muncul sebagai salah satu institusi pendidikan terbaik di Malaysia.

Sebagai alumni, kata-kata itu memberi makna yang cukup besar kepada saya.

Apabila seorang Perdana Menteri sendiri hadir ke kampus dan mengiktiraf UCSI sebagai institusi pendidikan unggul negara, perkara itu menunjukkan bahawa UCSI bukan lagi sekadar universiti swasta biasa.

UCSI kini merupakan jenama pendidikan Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Atas sebab itu, jika ada pelajar bertanya universiti mana yang patut dipilih, saya tidak akan teragak-agak mencadangkan UCSI.

Jika anda mencari universiti yang mempunyai reputasi global, persekitaran pembelajaran antarabangsa, hubungan kukuh dengan industri, peluang kerjaya luas dan suasana persaingan yang membentuk jati diri maka UCSI ialah jawapannya.

Ini kerana saya sendiri pernah melaluinya dan saya sentiasa berbangga untuk mengatakan saya ialah anak UCSI.

* Muhammad Akmal Ilham Kamarul Zaman ialah alumni UCSI University yang kini merupakan seorang juruaudit di Pricewaterhouse Coopers (PwC).