JABATAN Pengiklanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FAS) Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) menganjurkan pameran Creative Nexus: Showcase & Festival 2026 yang berlangsung dari 1 hingga 3 Mei lalu.

Program dengan kerjasama AEON Mall Kinta City itu bukan sekadar pameran biasa, sebaliknya tampil dengan pendekatan lebih menyeluruh apabila menghimpunkan hasil karya pelajar daripada pelbagai peringkat pengajian dalam program Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Pengiklanan.

Daripada projek tahun akhir (capstone) sehinggalah idea eksplorasi pelajar tahun pertama, pameran ini memberi gambaran jelas tentang perkembangan bakat, pemikiran kreatif dan kemahiran teknikal pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka.

Menariknya, karya yang dipamerkan turut mengetengahkan tema kesihatan, kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar, selari dengan usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja kreatif, malah mempunyai kesedaran sosial tinggi.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Ketua Jabatan Pengiklanan, Dr. Nur Afni Halil berkata, pameran tersebut menjadi platform penting untuk pelajar berkongsi idea serta mendekati masyarakat melalui pendekatan kreatif.

- Advertisement / Iklan -

“Program ini bukan sekadar pameran, tetapi ruang untuk pelajar mendapatkan pendedahan profesional dan berinteraksi dengan komuniti secara lebih dekat,” katanya.

Menurut kenyataan FAS, pameran itu turut melibatkan kolaborasi bersama beberapa syarikat tempatan yang bertindak sebagai klien industri bagi projek tahun akhir pelajar.

"Inisiatif tersebut membuka peluang kepada pelajar untuk menghasilkan produk berdasarkan keperluan sebenar industri, sekali gus memberi pengalaman dunia sebenar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

No Image Caption

"Hampir 1,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari penganjuran, sekali gus membuktikan sambutan positif daripada masyarakat," kata kenyataan itu.

Selain pameran, program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pertandingan kostum kanak-kanak sempena Hari Pekerja, pertandingan mewarna serta pengisian berkaitan kesihatan.

Pengunjung juga berpeluang menyertai sesi yoga, pemeriksaan kesihatan dan taklimat gaya hidup sihat, menjadikan acara ini bukan sahaja kreatif, tetapi turut memberi manfaat kepada komuniti setempat.