Malaysia jadi kampus dunia pilihan pelajar Australia
PENGALAMAN pelajar Australia yang menyertai New Colombo Plan (NCP) di Malaysia membuktikan program mobiliti antarabangsa itu bukan sahaja memperkukuh akademik, malah membina kemahiran global serta pemahaman antara budaya.
Maddie Lysaght dari University of Wollongong yang mengikuti kursus Indigenous Studies di Universiti Malaya berkata, beliau memilih Malaysia untuk merasai persekitaran baharu dan kepelbagaian budaya.
"Saya pilih Malaysia kerana ingin mengalami sesuatu yang berbeza, berjumpa ramai orang baharu, dan belajar di kampus besar yang mempunyai kepelbagaian budaya.
"Setiap hari saya belajar bukan sahaja tentang akademik, tetapi juga cara hidup masyarakat Malaysia, dari makanan hingga adat dan tradisi,” katanya.
Menurut Maddie, keberanian dan kebolehsuaian diri amat penting ketika menetap di negara asing.
“Kadang-kadang saya tersesat atau tidak faham perbezaan budaya, tetapi itu semua pengalaman yang sangat berharga,” tambahnya.
Beliau turut menekankan bahawa interaksi dengan pelajar tempatan dan antarabangsa membantu memperluas perspektif serta meningkatkan keupayaan bekerjasama dalam projek.
Belajar, bekerja dalam persekitaran berbeza
Seorang lagi peserta, Chloe Adams dari University of the Sunshine Coast yang mengambil jurusan Ekologi dan Evolusi di Universiti Malaya juga berkongsi pengalaman menjalankan penyelidikan berkaitan hutan hujan dan ekosistem tempatan yang tidak terdapat di Australia.
“Belajar dan bekerja dalam persekitaran berbeza meningkatkan kemahiran komunikasi serta adaptasi, selain memberi pengalaman penting untuk kerjaya masa depan.
"Saya juga belajar bekerja dalam pasukan dengan rakan berbeza budaya, yang kadang-kadang mencabar tetapi sangat memuaskan,” jelasnya.
Chloe turut menyifatkan masyarakat Malaysia sebagai mesra dan membantu, sekali gus memudahkan proses penyesuaian pelajar antarabangsa.
Kedua-dua pelajar berkenaan juga menasihatkan calon NCP agar berani mencuba perkara baharu.
“Malaysia memberikan peluang unik untuk belajar dan berkembang. Hadir dengan fikiran terbuka, dan jangan takut untuk mencuba perkara baharu," kata Maddie.
Chloe berkata, fleksibiliti dan sikap mudah menyesuaikan diri itu penting kerana realiti tak semestinya ikut perancangan, tapi peluang baharu sentiasa ada kalau kita berani ambil.
Penambahan biasiswa NCP
Sementara itu, Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia, Angela Rendall berkata, NCP yang dilancarkan pada 2014 kini memasuki fasa baharu dengan penambahan biasiswa serta program pembelajaran imersif bagi memperkukuh kepakaran Indo-Pasifik dan literasi Asia dalam kalangan pelajar ijazah pertama Australia.

Menurut beliau, mulai 2026, NCP distrukturkan kepada tiga program utama iaitu Biasiswa NCP sehingga 19 bulan, Program Semester selama satu hingga dua semester serta Program Mobiliti jangka pendek antara empat hingga sembilan minggu.
“Melalui pusingan terbaharu, sebanyak 10 biasiswa, 62 geran semester dan 56 geran mobiliti jangka pendek dianugerahkan khusus untuk Malaysia,” katanya.
Angela berkata, fasa seterusnya menyasarkan peningkatan kepada 500 biasiswa setahun menjelang 2028, dengan penekanan terhadap pembelajaran bahasa Asia daripada 15 peratus peserta pada 2026 kepada 25 peratus menjelang 2028, selain membuka peluang mengikuti program di kampus luar negara Australia.
"Tahun ini sahaja, seramai 328 pelajar Australia ditawarkan biasiswa, termasuk bilangan rekod ke Indonesia dan India serta kohort pertama ke Timor-Leste," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan pendidikan antara Australia dan Malaysia telah terjalin sejak sebelum kemerdekaan pada 1957 dan terus berkembang hingga kini.
Empat universiti Australia iaitu Monash, Swinburne, Curtin dan Wollongong menempatkan lebih 21,000 pelajar di kampus tempatan, manakala sejak 2015 sebanyak 4,890 biasiswa dan geran NCP diberikan bagi menyokong pengalaman pembelajaran serta latihan industri di Malaysia.
“Pembelajaran bahasa menjadi fokus utama program ini, melibatkan Bahasa Melayu, Mandarin, Jepun dan Vietnam bagi memperkukuh kepakaran Asia Australia,” katanya.
Pendekatan itu selari dengan kepentingan strategik Indo-Pasifik, dengan Malaysia sebagai rakan dagangan ke-11 Australia, sementara Asia Tenggara dijangka muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2040.
Dalam pada itu, Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia (DFAT) menegaskan pengukuhan kepakaran Asia nasional penting sebagai tonggak penglibatan pendidikan, ekonomi dan keselamatan Australia di rantau ini.
