UiTM laksana PdP fleksibel, galak BDR susulan ketegangan global
UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) mengambil pendekatan fleksibel dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) termasuk secara dalam talian serta bekerja dari rumah (BDR) bagi penuntut dan pensyarah susulan ketidaktentuan geopolitik dunia ketika ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, pelaksanaan itu dibuat mengikut kesesuaian fakulti dan keperluan kursus masing-masing tanpa menjejaskan kualiti pembelajaran pelajar.
Menurutnya, kursus yang memerlukan komponen praktikal seperti perubatan masih dilaksanakan secara fizikal, manakala program lain boleh dijalankan secara hibrid atau sepenuhnya dalam talian.
"Pendekatan PdP kini lebih anjal dan fakulti diberi kuasa menentukan kaedah terbaik sama ada secara fizikal atau dalam talian bergantung kepada ‘nature of studies’.
"Dalam masa sama, pensyarah juga melaksanakan tugasan secara bekerja dari rumah berdasarkan garis panduan ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan Hakim Cafe di Pusat Sukan UiTM Shah Alam di sini pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay;Pengasas Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Pengarah Urusan Restoran Hakim Sdn Bhd, Hakimsa Abdul Karim.
Mengulas mengenai capaian internet di UiTM, Mohd Sazili memberitahu, kemudahan itu berada pada tahap baik bagi menyokong pembelajaran dalam talian, malah penuntut digalakkan kekal berada di kampus sekiranya berdepan kekangan capaian internet di rumah.
"Di kampus kita jamin capaian internet stabil. Jika di rumah kurang memuaskan, pelajar boleh terus berada di kampus untuk mengikuti kelas secara dalam talian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kebolehpasaran graduan UiTM kekal tinggi meskipun berdepan cabaran global.
Katanya, pengiktirafan enam bintang oleh TalentBank Graduate Employability Index serta kadar kebolehpasaran graduan mencecah sekitar 96 peratus membuktikan graduan universiti itu terus mendapat tempat dalam pasaran kerja.
"Trend menunjukkan peningkatan kebolehpasaran, selari dengan penambahbaikan kurikulum dan pengenalan elemen kecerdasan buatan (AI) dalam program pengajian," tambah beliau.
Jelas beliau, kurikulum sentiasa dikemas kini bagi memenuhi keperluan industri semasa termasuk memasukkan komponen teknologi baharu dan kemahiran masa depan.
Mengulas lanjut, beliau berkata universiti turut menyediakan saluran aduan seperti sistem e-aduan dan platform digital termasuk WhatsApp bagi membolehkan pelajar menyalurkan sebarang isu berkaitan kebajikan mereka.
"Pelajar boleh kemukakan aduan melalui saluran rasmi yang disediakan dan pihak universiti akan mengambil tindakan sewajarnya,” jelas beliau.
