Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) mencatatkan satu lagi pencapaian membanggakan apabila muncul juara Pertandingan REKA+ anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi inovasi Superb Wudhu Spigot.

Kemenangan itu melayakkan PSA membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta plak, sekali gus menutup tirai tahun 2025 dengan kejayaan cemerlang sebagai antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terunggul negara.

Superb Wudhu Spigot merupakan inovasi ciptaan sekumpulan pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam PSA yang direka khusus bagi menjimatkan penggunaan air semasa berwuduk, sama ada di rumah ibadat mahupun untuk kegunaan persendirian.

Inovasi berkenaan selari dengan usaha pemeliharaan sumber air negara serta menyokong amalan penggunaan air secara berhemat dalam kalangan masyarakat.

- Advertisement / Iklan -

Menurut SPAN, pemilihan pemenang dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama, antaranya tahap praktikaliti, sumbangan terhadap penjimatan penggunaan air serta potensi kebolehpasaran produk untuk dikomersialkan.

Mengulas kejayaan itu, Timbalan Pengarah Akademik PSA, Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman berkata, kemenangan berkenaan membuktikan keupayaan pelajar PSA dalam menghasilkan inovasi yang bukan sahaja kreatif, malah memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

- Advertisement / Iklan -

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen PSA dalam melahirkan pelajar berdaya inovasi serta peka terhadap isu kelestarian, khususnya dalam pengurusan sumber air.

“Ia juga membuktikan bahawa idea dan hasil kerja pelajar politeknik berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi serta dikomersialkan,” katanya.

Beliau turut berharap pencapaian itu menjadi pemangkin kepada warga PSA untuk terus menyemai budaya inovasi dan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah sebenar demi memberi impak positif kepada masyarakat.

Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di ibu pejabat SPAN disempurnakan oleh Pengerusi SPAN, Datuk Ir. Abdul Kadir Mohd. Din.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

Dalam pertandingan sama, Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) diumumkan sebagai naib johan, manakala Universiti Kuala Lumpur Malaysian–Spanish Institute (UniKL MSI) menduduki tempat ketiga.

Pertandingan REKA+ yang bermula pada 1 Ogos 2025 itu julung kali dianjurkan dengan menghimpunkan 42 penyertaan daripada institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di seluruh negara.