Sambutan padu, Jelajah Pendidikan bantu belia pilih hala tuju
PROGRAM Jelajah Pendidikan Yayasan Makmur Kota Tinggi bagi penempatan belia pasca SPM mendapat sambutan luar biasa apabila dibanjiri kehadiran belia bersama ibu bapa yang hadir mendapatkan maklumat serta terus membuat permohonan melanjutkan pengajian.
Program yang berlangsung di Dewan Terbuka Taman Kota Jaya dan Dewan Kejora Bandar Tenggara dari jam 9 pagi hingga 2 petang itu menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan tinggi serta latihan kemahiran di bawah satu bumbung, sekali gus memudahkan generasi muda merancang hala tuju masa depan dengan lebih jelas.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Makmur Kota Tinggi merangkap Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Program ini diterajui konsultan kerjaya berpengalaman, Ibrahim Yaakub dengan sokongan kepimpinan tempatan.
Dalam ucapannya, Dr Adham menekankan kepentingan inisiatif seumpama ini bagi memastikan tiada golongan belia tercicir daripada arus pendidikan.
“Kita mahu setiap anak muda mendapat peluang yang adil untuk melanjutkan pelajaran dan membina masa depan yang lebih baik.
"Program ini menjadi jambatan yang menghubungkan mereka dengan pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, dewan dipenuhi interaksi aktif antara peserta dan wakil institusi, termasuk sesi penerangan mengenai pengajian, khidmat nasihat kerjaya serta peluang membuat permohonan secara terus.
Turut mencuri perhatian ialah sesi perkongsian peluang pengajian luar negara yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), University Malaya-Wales, Prof. Dr. Suria Baba.
Program ini turut melibatkan penyertaan pelbagai institusi ternama seperti Universiti Malaya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), University Malaya-Wales, ADTEC JTM, GIATMARA, politeknik, kolej komuniti serta institusi latihan kemahiran lain, menjadikannya platform sehenti yang komprehensif untuk lepasan SPM.
Hadir sama, Pengarah Pembangunan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman yang menyifatkan program berkenaan sebagai pendekatan strategik berimpak tinggi kepada pembangunan pelajar.
“Program seperti ini memberi akses terus kepada pelajar untuk memahami pilihan pendidikan, sekali gus membantu mereka membuat keputusan yang tepat dan lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Secara keseluruhan, program ini memberi impak positif apabila ramai peserta berjaya mengenal pasti laluan pendidikan yang bersesuaian dan mengambil langkah awal untuk memohon pengajian.
Dengan sambutan yang amat menggalakkan, inisiatif seperti ini dilihat mampu membantu belia menentukan hala tuju masa depan mereka, selari dengan keperluan pembangunan negara yang semakin mencabar.
