SINAR Varsity terus mengukuhkan peranannya dalam dunia media pendidikan apabila menerima Anugerah Pengiktirafan Rakan Strategik Media pada Majlis Promosi Universiti Putra Malaysia (UPM), Selasa.

Pengiktirafan itu diberikan berdasarkan potensi dan komitmen kerjasama strategik dalam memperluas capaian serta memperkukuh komunikasi universiti berkenaan.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Ir. Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Dalam majlis sama, beberapa organisasi media lain turut menerima penghargaan atas sumbangan signifikan dalam liputan berita berkaitan UPM sepanjang tahun lalu.

- Advertisement / Iklan -

Sebanyak 13 kategori dipertandingkan, manakala 15 ahli akademik dan profesional UPM menerima Anugerah Visibiliti Media UPM 2025.

Ahmad Farhan dalam ucapannya berkata, media memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam mengetengahkan kepakaran serta pencapaian universiti, sekali gus membantu meningkatkan reputasi institusi itu di peringkat nasional dan antarabangsa.

- Advertisement / Iklan -

“Sokongan berterusan daripada rakan media menjadi antara faktor utama dalam meningkatkan visibiliti universiti, selain merapatkan jurang antara dunia akademik dan masyarakat melalui penyampaian maklumat berasaskan ilmu serta penyelidikan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakan media yang hadir serta yang sentiasa komited menyokong Universiti Putra Malaysia,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa UPM sentiasa membuka ruang untuk kerjasama strategik bersama pihak media, termasuk menyediakan akses kepada pakar universiti bagi mendapatkan maklumat atau bahan eksklusif.

Tambahnya, universiti itu juga berhasrat melahirkan lebih ramai pakar akademik yang mampu berinteraksi secara efektif dengan media agar penyampaian ilmu dan hasil penyelidikan dapat difahami dengan lebih meluas oleh masyarakat.

“Langkah ini penting bagi memastikan maklumat yang tepat dan berautoriti dapat disampaikan kepada masyarakat, khususnya dalam era media sosial yang menyaksikan pelbagai reaksi serta penyebaran maklumat yang pantas,” ujarnya lagi.