Penemuan prasejarah UKM kini dipamer di muzium
Di sebalik ketenangan Muzium Anatomi dan Patologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tersimpan kisah manusia yang pernah menghirup udara bumi ini ribuan tahun sebelum kita.
Rangka manusia prasejarah berusia antara 7,000 hingga 9,200 tahun, yang sebelum ini hanya ‘berdialog’ dengan penyelidik di makmal, kini dipamerkan kepada khalayak buat pertama kali.
Pameran ini mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pendedahan awam sulung rangka manusia prasejarah sejak penubuhan Fakulti Perubatan UKM pada tahun 1972.

Lebih daripada sekadar paparan tulang-belulang, ia mengangkat penyelidikan sebagai cerita tentang kehidupan, kesihatan dan budaya manusia purba di Semenanjung Malaysia.
Naib Canselor UKM, Prof Dr Sufian Jusoh yang merasmikan pameran tersebut menyifatkannya sebagai manifestasi komitmen universiti dalam memasyarakatkan penyelidikan dan menyebarluaskan ilmu.
Menurut beliau, keputusan mempamerkan rangka-rangka yang telah selesai dikaji memberi peluang kepada orang ramai memahami dengan lebih dekat kehidupan masyarakat prasejarah, bagaimana mereka hidup, tahap kesihatan yang dimiliki, serta budaya yang membentuk komuniti mereka.
"Rangka-rangka prasejarah ini kini menjadi tarikan utama muzium, bukan sahaja sebagai bahan pameran, malah sebagai medium pendidikan dan jambatan komunikasi ilmu antara penyelidik dan masyarakat umum.

"Dalam dunia arkeologi dan sains perubatan, tinggalan manusia prasejarah merupakan khazanah yang tidak ternilai.
"Keutuhan tulang dan gigi membolehkan penyelidik meneliti amalan pengkebumian, penggunaan artifak, persekitaran hidup serta corak kesihatan masyarakat purba," katanya.
Prof Dr Sufian menjelaskan, kajian rintis yang dijalankan oleh pasukan penyelidik Fakulti Perubatan UKM bertujuan menilai status kesihatan tulang manusia prasejarah.
"Kajian ini unik kerana menjadi satu-satunya penyelidikan seumpamanya di negara ini yang menggabungkan kepakaran sains perubatan, pergigian dan sains sosial," tambahnya.
Maklumat yang diperoleh, katanya, membantu ahli arkeologi memahami dengan lebih mendalam cara hidup dan budaya masyarakat purba, sekali gus membuka ruang kepada pembentukan hipotesis baharu untuk kajian lanjutan. Kefahaman ini bukan sahaja bernilai dari sudut sejarah, malah berpotensi memberi manfaat jangka panjang dalam aspek penjagaan kesihatan masyarakat masa kini.
Empat rangka manusia yang dipamerkan ditemui hasil ekskavasi di Gua Chawan, Kelantan antara tahun 2018 hingga 2023. Ekskavasi itu diketuai oleh pakar arkeologi UKM, Profesor Madya Dr Zuliskandar Ramli dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara serta Kementerian Pelancongan dan Budaya.
Gua Chawan yang terletak di sepanjang Sungai Nenggiri dan anak-anak sungainya di kawasan Gua Musang kini berada dalam zon pembangunan empangan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Projek tersebut berpotensi menenggelamkan gua-gua batu kapur bersejarah, justeru kerja ekskavasi dan pemindahan tinggalan arkeologi dibiayai oleh TNB sebagai langkah pemeliharaan warisan negara.
Penentuan jantina, anggaran usia oleh pakar odontologi forensik
Analisis pentarikhan menggunakan kaedah Karbon-14 mendapati keempat-empat individu itu meninggal dunia sekitar 7,000 hingga 9,200 tahun lalu.
Penentuan jantina dan anggaran usia ketika maut dilakukan oleh pakar odontologi forensik, Dr Nor Atika Md Ashar dari Fakulti Pergigian UKM, yang mendapati rangka tersebut terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki berusia antara 25 hingga 40 tahun.
Rangka-rangka berkenaan kemudiannya dibawa ke Fakulti Perubatan UKM untuk kajian lanjutan berkaitan kesihatan tulang. Kajian ini diketuai oleh Profesor (Kehormat) Dr Ima Nirwana Soelaiman bersama pasukan penyelidik merangkumi Profesor Madya Dr Elvy Suhana Mohd Ramli, Profesor Madya Dr Chin Kok Yong, Dr Fairus Ahmad dan Dr Wong Sok Kuan.
Bagi memastikan pemeliharaan optimum tinggalan prasejarah, analisis dijalankan menggunakan kaedah pengimejan tanpa musnah seperti Dual-Energy X-ray Absorptiometry (DXA), Computed Tomography (CT) dan micro-CT.

Menariknya, hasil kajian mendapati ketumpatan serta struktur mikro dalaman tulang manusia prasejarah ini adalah sebanding dengan manusia moden di rantau ini. Saiz, bentuk tulang serta anggaran ketinggian individu juga menunjukkan persamaan dengan populasi tempatan masa kini — satu penemuan yang mencetuskan perspektif baharu tentang tahap kesihatan dan fizikal masyarakat purba.
Lebih daripada sekadar pameran akademik, inisiatif ini membuka peluang pembelajaran kepada pelajar, penyelidik dan masyarakat umum termasuk pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, pusat penyelidikan, persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Prof Dr Sufian berharap pameran ini terus menjadi platform komunikasi ilmu yang merentas disiplin, sekali gus memupuk minat terhadap penyelidikan yang menggabungkan sejarah, perubatan, pergigian dan sains sosial.
“Pameran ini adalah contoh bagaimana universiti dapat menyebarkan ilmu dan manfaat penyelidikan kepada masyarakat umum, selari dengan semangat UKM for Society,” katanya. - SV
