UTM - Lenggong Geopark ‘collab’ buka Open Learning Lab
UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Badan Pengurusan Lenggong Geopark bagi mewujudkan Makmal Pembelajaran Terbuka yang berfungsi sebagai platform pendidikan lapangan, penyelidikan dan pemindahan ilmu.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad sekali gus menandakan langkah strategik memperkukuh pembangunan Lenggong sebagai pusat rujukan pendidikan dan geopelancongan bertaraf global.
Naib Canselor UTM, Prof Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, kerjasama tersebut memanfaatkan kepakaran universiti dalam bidang geoinformasi, teknologi satelit, penderiaan jauh, pemetaan warisan digital serta pembangunan mampan.
Menurutnya, pendekatan Makmal Pembelajaran Terbuka membolehkan pelajar menjalani pembelajaran secara langsung di lapangan melalui konsep ‘open classroom’ dan ‘fieldwork laboratory’.
"Lenggong Geopark bukan sahaja tapak warisan dunia, tetapi sebuah ruang pembelajaran sebenar yang menggabungkan elemen geologi, biodiversiti, arkeologi dan budaya dalam satu ekosistem pendidikan holistik," katanya.
Beliau berkata, antara inisiatif yang bakal dilaksanakan termasuk penyelidikan bersama, pembangunan teknologi geospatial, program pendidikan lapangan, latihan profesional serta pemindahan ilmu kepada komuniti setempat.
Selain itu, UTM turut merancang memperkenalkan pelbagai program pendidikan antarabangsa seperti ‘Summer Programme’, ‘Field School Programme’ dan kursus berkaitan pelancongan berasaskan komuniti yang melibatkan pelajar universiti luar negara, politeknik serta sekolah tempatan.
Sementara itu, Saarani berkata, pembangunan Lenggong sebagai Tapak Pendidikan Terbuka selari dengan keperluan pendidikan masa kini yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman.
"Pelajar bukan sahaja mempelajari teori, tetapi dapat melihat sendiri bukti sejarah, struktur geologi dan kepelbagaian biodiversiti secara langsung, sekali gus membentuk kefahaman lebih mendalam,” ujarnya.
Menurut beliau, pendekatan itu juga membantu melahirkan generasi yang lebih peka terhadap pemuliharaan warisan dan alam sekitar di samping memiliki keupayaan menyesuaikan diri dengan cabaran semasa.
Tambahnya, pengiktirafan oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia sejak 2012 membuktikan nilai global Lenggong, selain usaha ke arah pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark bakal memperkukuh lagi kedudukannya di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, konsep pembelajaran terbuka turut menyokong pembangunan geopelancongan berasaskan komuniti apabila pelajar dan pelawat berpeluang menyertai program inap desa serta aktiviti rekreasi seperti Rimba Raid dan Lenggong Outdoor Festival.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkaya pengalaman pembelajaran, malah membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat melalui sektor keusahawanan dan hospitaliti.
Kerjasama strategik antara UTM dan Lenggong Geopark itu dijangka menjadi model kolaborasi antara institusi pendidikan, kerajaan dan komuniti dalam memperkasa pembangunan wilayah secara mampan serta melahirkan generasi berpengetahuan dan berdaya saing.



