UTeM makin solid global dua bidang naik dalam QS 2026
UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengukuhkan reputasi global apabila mencatat peningkatan signifikan dalam dua bidang utama menerusi QS World University Rankings by Subject 2026 yang diumumkan, baru-baru ini.
Bidang Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan melonjak ke kedudukan 351–400, manakala Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berada dalam kelompok 401–450.
Pada masa sama, bidang Sains Komputer dan Sistem Maklumat mengekalkan kedudukan 651–700, sekali gus mencerminkan konsistensi prestasi akademik universiti itu.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pencapaian berkenaan menjadi manifestasi komitmen berterusan universiti dalam memperkasa kecemerlangan pengajaran, penyelidikan dan inovasi, selari aspirasi untuk muncul sebagai institusi pendidikan teknikal terkemuka di peringkat global.
Menurut beliau, kejayaan itu didorong strategi berfokus dalam meningkatkan kualiti penyelidikan, impak penerbitan akademik serta pengukuhan jaringan kolaborasi strategik bersama rakan industri dan institusi antarabangsa.
“Selain itu, dedikasi tenaga akademik dalam memastikan kurikulum kekal relevan dan berdaya saing menjadi tunjang utama kepada lonjakan penarafan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan pencapaian tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya memberi impak besar dalam memperkukuh reputasi UTeM sebagai institusi TVET aras tinggi yang diyakini di peringkat antarabangsa.
Katanya, kejayaan itu dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik serta meningkatkan kebolehpasaran graduan di mata dunia.
UTeM akan terus mempergiat usaha dalam penyelidikan berimpak tinggi dan memperluas kerjasama antarabangsa bagi memastikan kecemerlangan tersebut kekal mampan dan terus meningkat pada masa hadapan.

