STATISTIK Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan nilai jualan bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara mencecah RM3.2 bilion pada 2025, menggambarkan betapa besarnya aktiviti perbelanjaan masyarakat sepanjang musim perayaan.

Namun dalam suasana ketidaktentuan global termasuk konflik geopolitik yang boleh memberi kesan kepada harga minyak dan kos sara hidup, persoalan tentang bagaimana rakyat mengurus perbelanjaan ketika menyambut Hari Raya menjadi semakin relevan.

Berita mengenai konflik yang semakin memuncak di Asia Barat melibatkan Israel dan Iran menimbulkan kebimbangan baharu kepada ekonomi global.

Walaupun kerajaan memberi jaminan bekalan minyak negara mencukupi dan harga petrol bersubsidi RON95 di bawah inisiatif Program Budi Madani (BUDI95) kekal pada kadar RM1.99 seliter, perkembangan ini tetap memberi isyarat bahawa ketidaktentuan global boleh memberi tekanan kepada harga barang dan kos logistik.

- Advertisement / Iklan -

Dalam ekonomi yang saling berkait, kenaikan kos bahan api sering membawa kesan berantai kepada harga makanan, pengangkutan dan perkhidmatan.

Bagi rakyat biasa, implikasi ini mungkin tidak dirasai segera, namun tandanya sudah dapat dilihat setiap kali musim perayaan.

- Advertisement / Iklan -

Harga ayam, daging, santan, sayur-sayuran dan bahan mentah lain lazimnya mengalami sedikit peningkatan apabila permintaan melonjak. Dalam keadaan ekonomi global yang tidak stabil, tekanan harga ini boleh menjadi lebih ketara.

Justeru, persoalan sebenar bukan sekadar bagaimana kita menyambut Hari Raya, tetapi bagaimana kita mengurus perbelanjaan supaya kegembiraan perayaan tidak bertukar menjadi beban kewangan selepasnya.

Hakikatnya, budaya berbelanja besar ketika raya bukan perkara baharu. Setiap tahun kita pasti membeli pakaian baharu untuk setiap ahli keluarga, menukar langsir dan perabot, serta menyediakan juadah dalam kuantiti yang berlebihan.

Ada juga yang sanggup berbelanja di luar kemampuan semata-mata untuk memastikan rumah terbuka kelihatan meriah.

Walaupun niatnya baik untuk meraikan tetamu dan keluarga, amalan ini kadangkala membawa kepada pembaziran yang tidak disedari.

Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, langkah kepimpinan negara juga memberi isyarat jelas tentang kepentingan berbelanja secara berhemah.

Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini sebagai langkah berjimat dan memberi tumpuan kepada pengurusan perbelanjaan negara.

Mesej yang disampaikan cukup jelas bahawa sambutan perayaan tidak semestinya perlu disertai dengan perbelanjaan besar.

Sebaliknya, semangat Aidilfitri boleh terus diraikan secara sederhana bersama keluarga, jiran dan komuniti setempat tanpa perlu membebankan kewangan.

Langkah ini mengingatkan masyarakat bahawa nilai sebenar Hari Raya bukan terletak pada kemewahan majlis atau jumlah hidangan yang disediakan.

Aidilfitri sepatutnya menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan dan silaturahim.

Dalam konteks ini, kesederhanaan bukan sahaja membantu mengawal perbelanjaan, malah menghidupkan kembali semangat kebersamaan yang menjadi asas kepada perayaan itu sendiri.

Penjimatan ketika menyambut Hari Raya bukan bermaksud mengurangkan kegembiraan. Sebaliknya ia adalah pengurusan kewangan yang lebih bijaksana.

Misalnya, keluarga boleh merancang pembelian lebih awal dan memilih hidangan yang sederhana tetapi mencukupi.

Ada juga keluarga yang mula berkongsi kos penyediaan juadah bersama saudara mara bagi mengelakkan pembaziran makanan.

Langkah kecil seperti ini sebenarnya boleh memberi kesan besar kepada perbelanjaan keseluruhan.

Pada masa yang sama, masyarakat juga boleh memainkan peranan dalam membina budaya menyambut perayaan yang lebih sederhana dan lestari.

Komuniti setempat boleh menganjurkan program memasak atau agihan makanan secara gotong royong supaya kos dapat dikongsi bersama.

Amalan berkongsi rezeki dengan jiran atau golongan memerlukan juga mampu menghidupkan semangat kebersamaan yang sebenar.

Institusi pendidikan pula boleh mengambil peluang untuk meningkatkan kesedaran tentang literasi kewangan dalam kalangan masyarakat.

Kempen mengenai pengurusan perbelanjaan musim perayaan boleh membantu keluarga merancang kewangan dengan lebih baik.

Generasi muda juga perlu dididik bahawa nilai Hari Raya tidak terletak pada kemewahan semata-mata, tetapi pada hubungan kekeluargaan dan rasa syukur.

Kerajaan pula terus memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan harga dan bekalan barangan asas.

Langkah memantau harga serta memastikan bekalan bahan api dan makanan kekal mencukupi adalah penting bagi melindungi rakyat daripada tekanan ekonomi yang berlebihan.

Dalam masa yang sama, usaha mendidik masyarakat mengenai penggunaan berhemah dan pengurusan kewangan juga perlu terus diperkukuh.

Akhirnya, Hari Raya adalah tentang kebersamaan dan kesyukuran selepas sebulan menahan diri di bulan Ramadan.

Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kesederhanaan mungkin menjadi hadiah terbaik untuk diri sendiri dan keluarga.

Raya yang sederhana bukan tanda kekurangan, sebaliknya cerminan kebijaksanaan dalam mengurus kehidupan.

Jika setiap keluarga mampu menyesuaikan perbelanjaan mengikut kemampuan, kita bukan sahaja dapat menyambut perayaan dengan tenang, malah mengelakkan tekanan kewangan selepasnya.

Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan, mungkin sudah tiba masanya kita meraikan Aidilfitri dengan cara yang lebih sederhana, tetapi lebih bermakna.

* Mohamad Amirul Mohd Adnan Ali ialah Ketua Seksyen Komunikasi Korporat PSPK, UPM