SERAMAI 40 sukarelawan Universiti Putra Malaysia (UPM) turun padang membantu penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Pulau Pangkor, Perak, menerusi Misi Sukarelawan Banjir Pelajar UPM.
Misi yang disertai 33 mahasiswa dan tujuh staf universiti itu mencerminkan keprihatinan warga kampus terhadap masyarakat yang berdepan kesukaran susulan bencana.
Pasukan Sukarelawan Jiwa Putra UPM berkenaan memberi tumpuan kepada usaha membantu penduduk terjejas, termasuk kerja pembersihan dan pemulihan kawasan berdasarkan keperluan serta penyelarasan di lapangan.
Banjir kilat yang berlaku pada 18 Oktober lalu selepas hujan lebat berterusan selama kira-kira dua jam menyebabkan beberapa kawasan di pulau peranginan itu dinaiki air sehingga menjejaskan kediaman dan harta benda penduduk.
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas ialah Kampung Masjid, Kampung Teluk Kecil dan Kampung Sungai Pinang Besar, yang memerlukan usaha pembersihan bagi membantu penduduk kembali menjalani kehidupan harian.
Penglibatan mahasiswa dalam misi itu turut memberi peluang kepada mereka memahami cabaran yang dihadapi masyarakat ketika berdepan bencana, selain mengaplikasikan nilai empati, kepimpinan dan tanggungjawab sosial di luar bilik kuliah.