BAGI sesetengah mahasiswa, kehidupan di universiti tertumpu kepada kuliah, tugasan dan peperiksaan. Namun, bagi Nur Ellyia Nadzirah Rajie, 25, dunia kampus turut menjadi titik permulaan untuk membina perniagaan sendiri.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kimia Gunaan, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu mula menceburi bidang makanan dan minuman (F&B) ketika berada di semester enam, sebelum mengembangkan perniagaan ais krimnya di Pulau Indah, Klang.
Minat untuk memiliki perniagaan sendiri bukan muncul secara tiba-tiba. Pengalaman menjalankan perniagaan secara dropship sebelum ini membuka matanya terhadap potensi dunia keusahawanan, malah beliau pernah mencatatkan jualan mencecah ratusan ribu ringgit ketika menjual produk orang lain.
“Daripada situ, saya mula terfikir untuk menjalankan perniagaan sendiri dan menghasilkan produk yang saya usahakan sendiri,” katanya.
Pada awalnya, Nur Ellyia menyedari penghasilan produk berasaskan kimia memerlukan kepakaran lebih mendalam. Dia kemudian memilih bidang F&B sebagai langkah permulaan untuk merealisasikan impian membina jenama sendiri.
Langkah itu menjadi lebih serius pada Julai 2025 apabila beliau mendaftarkan perniagaannya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum membeli mesin membuat ais krim.
Bagi memastikan produk yang dihasilkan mempunyai asas pengetahuan dan kemahiran yang sesuai, beliau turut mengikuti kursus pembuatan ais krim kendalian seorang chef terkenal di Malaysia.
Tidak lama kemudian, dengan dorongan kedua-dua ibu bapanya, Nur Ellyia menyewa sebuah kedai pada November 2025. Sebagai langkah memperkenalkan produknya kepada orang ramai, sebanyak 500 batang ais krim diberikan secara percuma kepada pelanggan.
Usaha itu menjadi antara langkah awal membina pengenalan terhadap produknya di Pulau Indah, Klang. Kini, perniagaan berkenaan turut membuka peluang kepada ejen yang berminat menjual ais krim sebagai sumber pendapatan sampingan.
Cabaran belajar sambil berniaga
Di sebalik langkah membangunkan perniagaan sendiri, perjalanan Nur Ellyia bukan sentiasa mudah. Ketika masih bergelar mahasiswa, beliau perlu membahagikan masa antara menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan dan menguruskan operasi perniagaan.
Keletihan menggalas dua tanggungjawab itu pernah membuatkannya hampir berputus asa. Pada masa sama, usaha memperkenalkan produk kepada pelanggan turut menjadi cabaran, khususnya ketika perniagaan masih baharu.
Dalam keadaan itu, sokongan keluarga menjadi antara faktor penting yang membantunya meneruskan usaha. Bapanya, Rajie, banyak membantu menguruskan kedai ketika beliau perlu menghadiri kuliah dan memberi tumpuan kepada pengajian.
Bagi Nur Ellyia, bantuan tersebut bukan sekadar meringankan urusan perniagaan, malah memberinya ruang untuk menyelesaikan tanggungjawab sebagai pelajar tanpa mengetepikan impian keusahawanan.
Kini, kedainya beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hingga 7 malam, manakala peluang menjadi ejen turut dibuka kepada mereka yang mahu menjana pendapatan sampingan.
Berani mencuba, sedia menghadapi risiko
Berdasarkan pengalamannya, Nur Ellyia percaya bidang perniagaan mempunyai potensi yang luas, tetapi seseorang perlu bersedia menghadapi risiko, cabaran dan kemungkinan mengalami kerugian.
“Dalam perniagaan, kita perlu berani mengambil risiko dan bersedia menerima kemungkinan untuk rugi. Namun, kita juga perlu bersabar kerana hasil daripada usaha yang dilakukan mungkin jauh lebih besar daripada apa yang dapat kita bayangkan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan mereka yang mahu memulakan perniagaan supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan kegagalan, sebaliknya menjadikan pengalaman itu sebagai ruang untuk belajar dan memperbaiki usaha.
Bagi Nur Ellyia, kejayaan bukan hanya diukur melalui perkembangan perniagaan, tetapi juga peluang untuk membalas pengorbanan ibu bapanya yang sentiasa memberikan sokongan.
“Tanpa kedua-dua ibu bapa saya, saya tidak akan sampai ke tahap ini. Melalui usaha saya ini, saya berharap dapat membalas jasa mereka suatu hari nanti, insya-Allah,” katanya.
Walaupun kini memberi tumpuan kepada dunia perniagaan, Nur Ellyia tetap melihat pendidikan sebagai asas penting dalam membina masa depan. Baginya, ilmu, kesabaran dan keberanian perlu bergerak seiring untuk merealisasikan impian.
Daripada pengalaman berniaga secara dropship kepada mengusahakan produk sendiri, perjalanan Nur Ellyia memperlihatkan bahawa langkah kecil yang dimulakan ketika di bangku universiti boleh membuka ruang kepada peluang yang lebih besar, asalkan disertai usaha dan kesungguhan.