FILEM pendek bukan sekadar medium hiburan, malah boleh menjadi ruang untuk generasi muda menyampaikan cerita, nilai dan identiti Malaysia melalui kreativiti serta penceritaan visual.
Bertitik tolak daripada pendekatan itu, pelajar semester tujuh dan lapan program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi Korporat (BK201), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), menganjurkan CommFest: Nukilan Lentera bertemakan “Dari Lensa, Demi Malaysia”.
Program yang berlangsung di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 4 Oktober lalu itu menghimpunkan 101 peserta daripada 12 pasukan, melibatkan enam pasukan kategori terbuka dan enam pasukan kategori sekolah.
Pengarah program, Dayana Safiyya Zulhalmi berkata, penganjuran CommFest diharap dapat menjadi platform untuk generasi muda menyampaikan pandangan tentang Malaysia menerusi karya kreatif.
“Kami berharap CommFest: Nukilan Lentera bukan sekadar sebuah pertandingan filem pendek, tetapi sebuah pentas yang memberi ruang kepada generasi muda untuk menyuarakan identiti, semangat dan cerita Malaysia melalui karya kreatif yang mampu meninggalkan impak kepada masyarakat,” katanya.
Pertandingan itu memberi peluang kepada peserta menghasilkan filem pendek yang mengangkat tema patriotisme, perpaduan, kepelbagaian budaya, warisan dan identiti negara.
Bagi kategori terbuka, Kibo Visuals dinobatkan sebagai johan, diikuti Attarfilmworks Production di tempat kedua dan PSV Karsa di tempat ketiga.
Dalam kategori sekolah pula, SMK Ghafar Baba muncul juara, manakala SMK Sultan Abdul Samad PJ meraih naib johan dan SMK Tengku Ampuan Jemaah menduduki tempat ketiga.
Program itu turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Afdlin Shauki sebagai perasmi dan tetamu kehormat. Selain pertandingan, peserta dan hadirin berpeluang mengikuti sesi perkongsian industri perfileman yang dikendalikan oleh Azmi Jamsari.
Penilaian pertandingan diketuai Ketua Juri, Faizal Ariff, bersama barisan juri yang terdiri daripada Muhammed Izzat Hasan, Profesor Madya Dr Aminah Abd Rhapor, Vanidah Imran dan Taufiq Hanafi.
CommFest: Nukilan Lentera dianjurkan bagi memenuhi keperluan kursus Communication Final Project (COC4024) di bawah Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Kemanusiaan (FESSH), UPTM. Program itu melibatkan 36 pelajar sebagai penganjur, dengan Dayana Safiyya sebagai pengarah program dan Dr Aida Suhana Abdul Hamid selaku pensyarah serta penasihat.
Penganjuran berkenaan turut mendapat sokongan Film Directors’ Association of Malaysia (FDAM), Jabatan Penerangan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain pelbagai organisasi, syarikat dan individu.
Selain menyediakan ruang kepada peserta mengetengahkan bakat, program itu memberi pengalaman praktikal kepada mahasiswa dalam mengaplikasikan ilmu komunikasi, pengurusan acara dan kerjasama berpasukan.
Melalui medium filem pendek, generasi muda bukan sahaja berpeluang mengasah kreativiti, malah dapat meneroka cara baharu untuk menyampaikan mesej tentang perpaduan, warisan dan semangat kebangsaan kepada masyarakat.