UiTM buktikan kehebatan usahawan siswa di JAGUH 2026

- Advertisement / Iklan -
Azolla Pallet dan Generative Art masing-masing menduduki tempat ketiga dalam pertandingan keusahawanan peringkat kebangsaan

DUA pasukan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraih tempat ketiga dalam Program JAGUH Keusahawanan Nasional 2026, sekali gus mengetengahkan potensi inovasi mahasiswa daripada bidang pengajian berbeza.

Pasukan Azolla Pallet dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Melaka menduduki tempat ketiga dalam Kategori Terbuka Sektor Biru, manakala Generative Art dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Sabah meraih kedudukan sama dalam Kategori Terbuka Sektor Oren.

Penolong Naib Canselor (Keusahawanan), Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM, Profesor Madya Dr Badrul Isa berkata, penyertaan mahasiswa daripada pelbagai disiplin membuktikan idea keusahawanan boleh dikembangkan tanpa terhad kepada bidang perniagaan semata-mata.

“Penyertaan mahasiswa daripada pelbagai bidang pengajian membuktikan bahawa keusahawanan bukan lagi terhad kepada bidang perniagaan semata-mata, sebaliknya setiap disiplin mempunyai potensi menghasilkan inovasi yang boleh dikembangkan menjadi peluang ekonomi,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Kedua-dua pasukan membawa pulang hadiah wang tunai RM800 setiap satu menerusi pertandingan yang berlangsung di Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Petaling Jaya, baru-baru ini.

Program berkenaan menghimpunkan 3,008 peserta yang menghasilkan 768 projek keusahawanan. Daripada jumlah itu, 30 projek terbaik dipilih untuk bersaing di peringkat akhir.

- Advertisement / Iklan -

Menurut Badrul, pertandingan seperti JAGUH memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk menguji idea, meningkatkan keyakinan ketika membuat pembentangan serta memahami keperluan membangunkan model perniagaan yang berdaya saing.

Pendedahan itu turut membuka ruang kepada mahasiswa menghubungkan pengetahuan akademik dengan peluang keusahawanan, selain mengenal pasti cara mengembangkan idea berdasarkan keperluan pasaran.

Menerusi MASMED, UiTM terus melaksanakan inisiatif latihan dan bimbingan bagi membantu mahasiswa meneroka bidang keusahawanan serta membangunkan idea yang berpotensi menghasilkan nilai ekonomi.

Pencapaian kedua-dua pasukan itu memperlihatkan ruang untuk mahasiswa daripada pelbagai latar belakang pengajian mengembangkan potensi di luar bilik kuliah, termasuk menerusi inovasi dan pembangunan perniagaan.