UPSI kuasai acara 100m, Danish dan Fatin raja-ratu pecut SUKIPT 2026

- Advertisement / Iklan -
Danish Iftikhar muncul juara acara 100 meter lelaki akhir pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) di Universiti Malaya pada Selasa. Foto Bernama
Dua atlet UPSI ungguli saingan lelaki dan wanita sekali gus mengukuhkan dominasi universiti itu di Arena UM

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menguasai pentas pecut Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 apabila Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Fatin Ilyana Mat Nayan dinobatkan sebagai raja dan ratu pecut selepas masing-masing memenangi acara 100 meter (m) lelaki dan wanita.

Pada final di Arena Universiti Malaya (UM) di sini pada Selasa, Danish Iftikhar yang juga atlet kebangsaan menepati ramalan apabila meraih emas dengan catatan 10.36 saat (s), sekali gus memperbaharui rekod temasya 10.44s yang dilakarnya pada saringan ketujuh semalam.

Pingat perak menjadi milik atlet Politeknik Malaysia, Muhammad Airiel Iskandar Rusli, dengan catatan 10.63s, manakala wakil Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmad Amir Aiman Mohd Kamar, meraih gangsa selepas merekodkan 10.65s.

"Alhamdulillah, untuk acara terakhir 100m, pada saringan semalam saya dapat pecahkan rekod sebelum ini dan hari ini pada final saya dapat pecahkan sekali lagi rekod saya,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.

- Advertisement / Iklan -

Raja pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berusia 19 tahun itu selepas ini mengalihkan fokus kepada Kejohanan Olahraga Grand Prix Muscat di Oman yang bermula 5 Sept ini sebelum beraksi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dari 19 Sept hingga 4 Okt.

Sementara itu, Fatin Ilyana turut mencatat kejayaan cemerlang apabila meraih emas 100m wanita dengan catatan 11.93s, sekali gus memperbaharui rekod peribadi terbaik (PB) 11.96s yang dilakarnya pada 2022.

- Advertisement / Iklan -

Rakan sepasukan UPSI, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka, meraih perak dengan catatan 12.13s, manakala Nur Izzati Eliana Suhaidi melengkapkan podium selepas merekodkan 12.23s.

"Alhamdulillah, saya sangat berbangga kerana memang menyasarkan untuk mencatat PB. Saya sudah lama tidak memperbaiki catatan 11.96s yang dilakukan pada 2022.

"Selepas empat tahun, saya memang sangat-sangat menyasarkan untuk memecahkan PB dan persaingan sengit hari ini turut mendorong saya untuk mencapai sasaran tersebut,” kata Fatin Ilyana. - Bernama