Kuartet 4x100m UPM raih emas, pecah rekod SUKIPT

- Advertisement / Iklan -

KUATET 4x100 meter (m) Universiti Putra Malaysia (UPM) membuktikan kehebatan barisan pelapisnya apabila meraih pingat emas sambil memecahkan rekod kejohanan pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.

UPM mencatat masa 39.98 saat, sekali gus memperbaharui rekod kejohanan 40.98 saat yang dicatat sebelum ini.

Lebih manis, kejayaan memecahkan rekod dengan perbezaan satu saat itu dilakukan meskipun kuartet UPM tampil dengan barisan yang sebahagian besarnya muka baharu di pentas SUKIPT.

Mereka berjaya menyerap tekanan persaingan sengit, khususnya daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang turut diperkuat pelari pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.

- Advertisement / Iklan -

Pelari UPM, Aliff Iman Mohd Fahimi berkata, kejayaan itu cukup bermakna dalam memastikan tradisi kecemerlangan acara pecut UPM yang pernah dibawa nama besar seperti Jonathan Nyepa dan Zulfiqar Ismail terus dipertahankan.

“Ini merupakan SUKIPT terakhir saya dan saya mahu berikan yang terbaik buat UPM. Walaupun pasukan kali ini dibarisi pelari junior, kami yakin dengan kemampuan masing-masing.

- Advertisement / Iklan -

“Berdasarkan purata catatan rakan sepasukan sekitar 10.4 hingga 10.5 saat, kami memang percaya mampu mencatat masa di bawah 40 saat,” katanya.

Sasaran itu akhirnya berjaya diterjemahkan di trek apabila kuartet UPM mencatat 39.98 saat untuk bukan sahaja meraih emas, malah mencipta rekod baharu kejohanan.

Bagi Aliff Iman, SUKIPT 2026 turut menjadi pentas penting untuk membina semula prestasinya selepas berehat selama enam bulan akibat kecederaan belakang.

Dia kini mahu kembali mendapatkan rentak terbaik dengan sasaran mencabar tempat ke Sukan SEA tahun depan.

Sementara itu, pelari terakhir UPM, Ahmad Amir Aiman Mohd Kamaruddin mengakui berdepan tekanan apabila perlu bersaing dengan pelari pecut kebangsaan.

Namun, keyakinan dan kepercayaan rakan sepasukan membantunya kekal tenang untuk menyempurnakan larian sehingga membawa UPM muncul juara.

Seorang lagi anggota kuartet, Reeve Kua Man Hong turut mencuri perhatian apabila tetap turun beraksi dan mempamerkan semangat juang tinggi meskipun mengalami demam panas sehari sebelum perlumbaan.

“Semalam saya mengalami demam panas dan hanya mampu berehat serta mengambil ubat. Alhamdulillah, hari ini saya dapat berlari dan memberikan yang terbaik untuk pasukan,” katanya.

Kejayaan meraih emas dengan rekod baharu 39.98 saat itu sekali gus meneruskan legasi UPM sebagai antara pasukan yang konsisten melahirkan pelari pecut berkualiti di pentas sukan institusi pendidikan tinggi.