BUKAN sekadar turun padang, pelajar Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) membuktikan pembelajaran di luar bilik kuliah mampu memberi impak sebenar apabila menganjurkan program di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) di Sekolah Kebangsaan (Asli) Kemandol, Kuala Langat, baru-baru ini.
Menggabungkan elemen pembelajaran dan khidmat komuniti, program Empowering Communities Through Hygiene Outreach (E.C.H.O ) yang digerakkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Korporat) itu memberi fokus kepada pendidikan kesihatan asas, khususnya aspek kebersihan diri dan penjagaan pergigian dalam kalangan murid sekolah.
Penasihat program yang juga Pensyarah UPTM, Dr. Aida Suhana Abdul Hamid berkata, program berkenaan bertujuan memberi pendidikan serta pendedahan awal kepada murid sekolah mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri.
Menurutnya, program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 2 petang itu melibatkan pelbagai aktiviti interaktif dan praktikal dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat serta Klinik Pergigian banting.
“Antara pengisian utama ialah pendedahan berkaitan penjagaan kesihatan asas, kebersihan diri serta kesihatan pergigian. Penekanan turut diberikan kepada aspek kesihatan remaja, khususnya dalam kalangan pelajar perempuan,” katanya.
Beliau menjelaskan, pendekatan pembelajaran secara praktikal digunakan bagi memastikan murid bukan sahaja memahami teori, malah mampu mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam kehidupan seharian.
Dalam masa sama, Aida Suhana berkata, program tersebut juga menjadi platform pembelajaran berterusan kepada pelajar universiti untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dalam kelas kepada situasi sebenar bersama komuniti.
“Melalui SULAM E.C.H.O ini, pelajar didedahkan dengan pengalaman berinteraksi dengan komuniti, mengurus program, berkomunikasi dengan pelbagai pihak termasuk penaja dan agensi luar. Ini merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, program seumpama itu bukanlah kali pertama dilaksanakan, namun edisi kali ini memberi fokus khusus kepada pendidikan kesihatan yang sebelum ini kurang diberi penekanan.
“Sejak 2014, kami telah melaksanakan pelbagai program komuniti di beberapa lokasi termasuk di Pahang dan Selangor. Namun, program kali ini lebih memfokuskan kepada aspek kesihatan asas,” katanya.
Menurutnya lagi, pihak universiti sedang merancang untuk memperluaskan pelaksanaan program ke kawasan pedalaman lain bagi memastikan lebih ramai komuniti mendapat manfaat yang sama.